Ahad, 15 Julai 2012

Personaliti - 50 tahun jadi hakim tilawah al Quran



 Tan Sri Hassan Azhari 

Hassan hanya sekali dibenarkan sertai musabaqah al-Quran

Mungkin tiada siapa dapat menandingi komitmen Tan Sri Hassan Azhari dalam memastikan tilawah al-Quran dianjurkan saban tahun, khususnya menjelang ketibaan Ramadan. Hakikatnya, pada usia 83 tahun, kepakaran Hassan masih diperlukan dan namanya terus tersenarai sebagai hakim untuk tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang dianjurkan negara, malah khidmatnya turut ditagih di luar negara.

Beliau bersama 11 hakim lain baru saja menyelesaikan amanah digalas untuk menghakimi peserta Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang berlangsung dari 6 Julai dan berakhir malam kelmarin.

“Alhamdulillah (seraya mengangkat tangan seperti ketika berdoa), dengan izin Allah saya masih dipilih untuk bersama hakim lain pada majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang baru berlalu. Syukur kerana semua berjalan lancar,” katanya pada pertemuan dengan BH Ahad.

Beliau yang berpengalaman lebih 50 tahun dalam penghakiman tilawah al-Quran berkata, tanggungjawab hakim bukan mudah dan melihat kepada tugas dilakukan, mereka tiada masa untuk menyebelahi atau menentukan siapa patut menang.

 
Jadi peserta tilawah

Sebenarnya, Hassan pernah menjadi peserta tilawah al-Quran apabila menyertai Majlis Membaca al-Quran Se-Malaya yang kali pertama diadakan pada 4 September 1947 di Masjid Jamek Abu Bakar, Johor Bahru.

Pada majlis anjuran Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) itu, beliau mendapat tempat pertama dan berkongsi dengan dua pemenang lain, Abdul Rahman Ahmad (Pulau Pinang) dan Mahyuddin Canai Intan (Perak) yang sama-sama meraih markah 84.5 peratus.


Bagaimanapun, selepas itu beliau tidak pernah menyertai mana-mana majlis tilawah al-Quran yang dianjurkan. Rupa-rupanya, Hassan tidak dibenarkan menyertai majlis tilawah al-Quran kerana kepakaran beliau diperlukan untuk menjadi hakim.

Sejak itu, beliau yang dikagumi kerana pengetahuan tinggi dalam bidang al-Quran, khususnya ilmu tajwid.

Khidmatnya tidak terbatas untuk pertandingan dalam negara, malah beliau turut diundang menjadi hakim di Makkah sebanyak 14 kali, Mesir (empat kali), Iran (dua kali), selain di Dubai, Brunei dan Thailand.

 
“Itulah kali pertama dan terakhir saya menyertai tilawah al-Quran. Selepas itu tidak dibenarkan lagi tetapi saya diminta pula menjadi hakim hingga sekarang. Tetapi tidak mengapa kerana saya masih berpeluang menabur bakti dalam bidang yang saya minati,” katanya.

Selain itu, anak kelahiran Makkah ini juga aktif menyertai bengkel, seminar serta persidangan berkaitan ilmu al-Quran anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada masa santainya, jika tidak terikat dengan bengkel, seminar dan undangan ceramah, masa dihabiskan di rumah tetapi di sisinya, pasti ada al-Quran menemani.

 
Menghasilkan al-Quran Waqaf dan Ibtida’

Menyedari banyak cara untuk meningkatkan kefahaman serta membantu umat Islam membaca al-Quran dengan betul dan lebih penting ialah mendapat ganjaran hebat, Hassan bersama anaknya, Dr Abd Rauf, menghasilkan Al-Quran al-Karim Dengan Panduan Waqaf dan Ibtida’.

Keistimewaan al-Quran dihasilkan daripada cetusan idea Abd Rauf dan diterbitkan Telaga Biru Sdn Bhd, ia mempunyai tanda tempat berhenti serta memulakan bacaan.

Tanda melalui warna pada ayat al-Quran itu akan memudahkan pembaca, khususnya mereka yang bernafas pendek untuk berhenti di tempat betul dan memulakan bacaan juga daripada ayat betul.

Menceritakan mengenai usaha yang mengambil masa tiga tahun itu, Hassan mengakui pada awalnya beliau tidak bersetuju cadangan dikemukakan anaknya, pensyarah Jabatan Bahasa Asing Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Awalnya saya menentang hasrat itu dengan alasan tidak akan mendapat kelulusan JAKIM. Bagaimanapun, selepas diterangkan bahawa warna yang digunakan tidak akan menjejaskan langsung tulisan huruf al-Quran, barulah saya setuju.

“Sebenarnya ilmu waqaf dan ibtida’ ini memang penting. Orang belajar mengaji akan tanya nak berhenti dan ambil dari mana. Hendak jawab secara spontan pun susah juga. Malah, hakim tilawah ramai yang tidak mahu jadi hakim waqaf ibtida.” katanya.

Mereka yang lahir sebelum dan awal 70-an, pasti akan mengingati program disiarkan RTM setiap petang memaparkan suasana pembelajaran dalam kelas. Jika ditanya, bukan saja gambaran program terbayang, malah suara Hassan yang nyaring dan tegas turut terngiang-ngiang di cuping telinga.

Itulah keistimewaan program Muqaddam yang meninggalkan kesan kepada penonton kerana teknik pengajaran yang ditampilkan mudah untuk diikuti dan banyak membantu meningkatkan kaedah membaca serta membunyikan huruf jawi dengan tepat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan