Rabu, 11 Julai 2012

Penubuhan NUMERA dibidas


Rabu , 11 Julai 2012, 21 Syaaban 1433 H

 Musibah Gempa Padang. Foto ihsan Dato' Dr. Kemala.

Niat Dr Kemala seberang sempadan negara dipersoal Darman Moenir

PENUBUHAN organisasi penulis merentas Kepulauan Nusantara, Nusantara Melayu Raya (NUMERA) yang dirintis Sasterawan Negara (SN) Ke-11, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) nyata tidak disenangi di Indonesia. Akhbar, Harian Haluan di Indonesia, menerbitkan Awasi NUMERA tulisan pengarang tempatan, Darman Moenir, membidas niat NUMERA memasuki wilayah Indonesia, sekali pun atas nama sastera Melayu.

Darman dalam rencana edisi dalam talian Haluan nyata sinis melalui pertanyaan, apakah hubungan NUMERA dengan Indonesia? ‘Jelas, tidak seorang pun warga Indonesia, urang awak, ikut mendirikan NUMERA!’

  Foto ihsan - Muhammad Subhan

Ketika dihubungi Sastera, Darman menjelaskan, “NUMERA adalah urusan sasterawan Malaysia dan tidak perlu membabitkan Indonesia, hatta kalaupun ada penglibatan, mengapa bukan dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)?”

Malaysia di mata Darman belum kuat mempertahankan kedudukan bahasa Melayu, selain bahasa itu tiada hubungan dengan bahasa Indonesia kerana persoalan kebahasaan negara itu jelas sejak 28 Oktober 1928 melalui Sumpah Pemuda.

Darman turut mengaitkan betapa tidak layaknya NUMERA menginjak Indonesia, khususnya Padang yang menjadi lokasi kegiatan NUMERA sekitar Mei lalu, berikutan isu tenaga kerja Indonesia yang didera majikan di Malaysia, selain menyifatkan panggilan ‘Indon’ terlalu menghina.

Dr Kemala ketika ditemui Sastera menjelaskan, Darman berniat jahat dan tersasar dalam rencananya kerana beliau tidak pernah berniat mencampuri urusan Indonesia dan NUMERA ditubuhkan bagi membantu kebajikan sasterawan seluruh Nusantara, selain mengeratkan ukhuwah melalui sastera.

 Dato' Dr. Kemala. 
Foto ihsan - Dato' Dr. Kemala.

Antara buah tangan Dato' Dr. Kemala.  
Foto ihsan - Dato' Dr. Kemala.

“Kita semua adalah Melayu. Kepulauan Nusantara adalah Kepulauan Melayu yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand dan Singapura. Walaupun ada Minang dan Bugis, tetapi asalnya ialah Melayu. Menolak Melayu adalah ego Darman,” tegasnya.

Dr Kemala mengajak mereka yang berkenaan melihat kembali asal usul Melayu dan bagaimana sastera Melayu dipermudahkan serta dipinda-pinda sesuka hati oleh orang lain kerana bangsa Melayu tidak bersatu.

“Setiap negara berjuang atas nama negara sendiri. Kita dipisahkan oleh penjajahan dan politik. Jika kita lihat dulu, sukatan mata pelajaran subjek Sastera Malaysia merangkumi karya dari Indonesia dan Brunei.

“Kita mengkaji karya Pramoedya Ananta Toer lewat Keluarga Gerilya. Kita mengkaji Syair Rakis tulisan Pengiran Muhammad Salleh milik Brunei. Tapi lihatlah betapa kita hari ini hanya membaca karya sendiri.

“Mengapa bimbang? NUMERA bukan pertubuhan politik. Kami ingin melihat seni budaya sastera Nusantara dimasukkan kembali dalam sukatan mata pelajaran Sastera di sekolah mahupun universiti di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan