Isnin, 23 Julai 2012

Peniaga Orang Kurang Upaya rasa ditindas


Wartawan Sinar Harian
23 Julai 2012 
MELAKA - Dia hanya mahu berdikari, namun seorang orang kurang upaya (OKU) kecewa apabila merasakan seolah- olah ditindas penganjur tapak niaga berkenaan.

Ia berikutan permintaannya untuk mendapatkan tapak lebih sesuai dan mesra OKU di bazar Ramadan Taman Chempaka, di sini tidak dilayan menyebabkan Basirun Usop, 50, terpaksa berniaga dalam keadaan tidak selesa dibantu isterinya, Syarifah Norhana Syed Mashor, 46.

Dia yang lumpuh dari paras dada hingga kaki memerlukan ruang kira-kira satu meter untuk kerusi rodanya bergerak  keluar dan masuk ke tapak niaga, apatah lagi ketika hendak pergi membersihkan tiub saluran kencing.

Namun, bukan saja permintaannya tidak diendahkan, malah penganjur tapak niaga itu memberinya ruang yang dianggap sebagai ‘laluan mati’.

“Pada bulan puasa ini saya berniaga jus tembikai pada sebelah petang, manakala, malam saya menambah dengan menjual keropok lekor.

Namun, jualan tidak memberangsangkan kerana tapak diberikan bukan laluan utama,”  katanya ketika ditemui di tapak bazar berkenaan, semalam.

Basirun berkata, dia kemudian membuat rayuan sebelum penganjur memindahkannya ke tapak sebelah.

“Selain Persatuan Usahawan OKU negeri membantu membuat rayuan, saya juga ada mengemukakan aduan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), sebelum seorang pegawainya minta berbincang dan berjanji membantu.

“Sepatutnya penganjur tidak ambil ringan rayuan saya kerana saranan kerajaan mengutamakan OKU.,” katanya.

Basirun berkata, tiada sebarang harga istimewa diberikan, sebaliknya perlu membayar sewa RM300 sebulan untuk berniaga sebelah petang dan RM800 sebulan untuk malam.

“Namun, bagaimana hendak menampung kos sewa sedangkan lokasi itu tidak dikunjungi pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBMB, Zainal Abu berkata, pihaknya mengambil perhatian masalah dihadapi Basirun itu.

“Saya difahamkan tapak itu menjadi rebutan, namun masalah ini dipandang serius MBMB.,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan