Sabtu, 7 Julai 2012

Pelajar bantu penduduk Padang


Oleh Ruhaiza Rusmin, ruhaizarusmin@hmetro.com.my
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/02


MANAGEMENT & Science University (MSU) melalui Kelab Penyayang MSU dengan kerjasama Student & Career Development (SCD) menganjurkan program khidmat masyarakat ‘Journey to West Sumatera: Remembrance of Padang’, baru-baru ini.

Program enam hari lima malam itu membabitkan penyertaan 40 pelajar.

Pengarah program, Muhammad Nurizzuwan Kasir berkata, lawatan itu menyasarkan matlamat memupuk dan memperkasa nilai tambah serta kemahiran insaniah pelajar di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, penganjuran itu mampu membuka minda generasi muda supaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa memilih latar belakang.

“Ini satu konsep pembelajaran melalui pengalaman yang bertujuan membantu pelajar peka dengan komitmen kemasyarakatan.

“Pada masa sama, ia memperkasakan kemahiran diri melalui aspek interaksi sosial dan budaya, sekali gus membantu mereka lebih yakin apabila berdepan dengan masyarakat kelak,” katanya.

Program itu adalah kesinambungan misi kemanusiaan Pandanglah Padang 1 dan Pandanglah Padang 2 yang di jalankan MSU pada 2009 dan 2010 ketika bencana alam gempa bumi melanda Padang.

Antara aktiviti dijalankan termasuk kunjungan ke Kampung Padang Alai untuk menjalankan aktiviti khidmat masyarakat, rumah anak yatim Panti Asuhan Putra Darul Ma’arif Al Karimiyah bagi aktiviti berbentuk pendidikan selain lawatan ke tempat menarik seperti Bukit Tinggi, Padang, Bukit Lawang, Danau Meninjau, Danau Singkarak dan Batu Sangkar.

Pelajar tahun pertama Diploma in Human Capital Management, Faculty of Business Management and Professional Studies MSU, Nur Rakidha Kamarudin berkata, kesempatan terpilih mengikuti program itu tidak boleh dilupakan.

“Saya gembira dan terharu melihat semangat kerjasama dan kekeluargaan yang dipupuk di kalangan peserta. Semua aktiviti dirancang berjalan dengan baik hasil permuafakatan.

“Program ini membuka minda dan memberi pengalaman baru. Saya berharap mampu mengaplikasikan apa yang diperoleh ini dalam kehidupan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan