Isnin, 9 Julai 2012

Floria Putrajaya 2012 catat jualan lebih RM2 juta, pengunjung 800,000


ARKIB : 09/07/2012

 Keceriaan Pesta Bunga - Floria 2012.

PUTRAJAYA 8 Julai - Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2012 berjaya mencatatkan jumlah jualan kasar lebih RM2 juta dalam tempoh lapan hari penganjurannya yang bermula 30 Jun lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kutipan itu berdasarkan jualan bunga-bungaan, tanaman hiasan, produk kraftangan, makanan dan minuman.

“Lebih 200 aktiviti disediakan untuk pengunjung termasuk 50 gerai komersial, 60 gerai Laman Seni dan 40 gerai makanan dan minuman sepanjang festival itu diadakan.

 
“Kesemua itu memberikan peluang yang luas kepada pengunjung untuk membeli pokok bunga, baja tanaman, peralatan berkebun dan pelbagai produk seni kreatif selain menjamu selera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup program Floria Putrajaya 2012 di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Raja Nong Chik berkata, dari segi sambutan pula sehingga hari ini, Floria Putrajaya 2012 berjaya mencatatkan kehadiran lebih 800,000 orang.

Katanya, sambutan itu menunjukkan festival tahunan tersebut dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya memulihara flora serta mewujudkan keindahan dan alam sekitar yang bersih serta indah.

“Floria Putrajaya juga bukan sahaja merupakan pameran bunga-bungaan hidup, malah merangsang pertumbuhan industri bunga, landskap dan pelancongan," katanya.

Sementara itu, Samsudin dalam ucapannya turut menyifatkan kesemua pencapaian tersebut menjadikan Floria Putrajaya 2012 satu pakej pameran, pembelajaran dan pelancongan serba lengkap dan menghiburkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan