Ahad, 10 Jun 2012

Transformasi Tabung Haji sentiasa ikut masa, ekonomi


ANIS ZUHANI AHMAD ialah Pengurus Besar, Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan, Lembaga Tabung Haji

ARKIB : 08/06/2012

SAYA dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas berkaitan artikel 'Tabung Haji patut tambah pelaburan di Mekah, Madinah' yang ditulis oleh Mohd Rizal Zainal di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Jun 2012.

Sebagai agensi yang diamanahkan untuk mengurus kebajikan jemaah haji Malaysia ketika menunaikan ibadah rukun Islam kelima ini, Tabung Haji (TH) sentiasa mengambil insiatif dan berusaha untuk menambah baik mutu perkhidmatan dan memastikan segala keperluan jemaah Malaysia seperti keperluan dan keselesaan penginapan di Tanah Suci semasa musim haji adalah mencukupi dan memenuhi piawaian yang telah ditetapkan.

 Janadiriah

Seperti yang kita sedia maklum, Kota Makkah sedang menjalani proses pembangunan dan menaik taraf kemudahan yang melibatkan hotel-hotel serta kemudahan lain yang dijangka akan mengambil masa jangka sederhana untuk disiapkan.

Kerja-kerja pembesaran dan menaik taraf ini melibatkan sebahagian besar kawasan penginapan yang berhampiran dengan Masjidil Haram dirobohkan bagi tujuan menaik taraf.

Sehubungan dengan itu, TH juga agensi-agensi dari negara-negara lain terpaksa menyewa dan memajak kawasan penginapan lain, di luar dan tidak terlibat dengan kawasan pembinaan ini. Kesulitan ini adalah bersifat sementara untuk keselesaan jemaah masa hadapan.

Sebagai langkah jangka panjang, TH telah pun membuat pelaburan dengan memajak hotel-hotel di Mekah dan Madinah untuk tempoh di antara tiga (3) hingga 25 tahun. Ini akan dapat membantu TH memberikan tempat penginapan yang selesa untuk para jemaah di samping membantu membendung kos perbelanjaan mengerjakan haji ke paras yang rendah di rantau ini.

 Sebahagian dari Kota Makkah.

Menyentuh tentang isu mengapa TH tidak membeli dan membuat pelaburan dengan pemilikan hotel di Mekah dan Madinah, untuk makluman tuan, TH menghadapi kekangan untuk membeli serta memiliki aset bangunan dan tanah di Tanah Suci kerana dasar dan undang-undang Kerajaan Arab Saudi, pemilikan hartanah (bangunan & tanah) di Mekah dan Madinah hanya boleh dimiliki oleh rakyat Arab Saudi sahaja.

Oleh itu, lain-lain warganegara hanya dibenarkan membuat penyewaan atau pajakan bangunan sahaja di Mekah dan Madinah. Oleh sebab demikianlah, TH tidak boleh memiliki hartanah di Mekah dan Madinah seperti yang disarankan penulis.

Mengenai kos pembiayaan ibadah haji, TH senantiasa mencari jalan untuk menangani dan membendung kenaikan kos ini sebaik mungkin. Tahun lalu sahaja TH telah membelanjakan sebanyak RM105 juta untuk memastikan yang jemaah haji Malaysia hanya perlu mengeluarkan kos sebanyak RM9,980 seorang untuk 40 hari, berbanding dengan jemaah dari rantau ini yang membayar kos perbelanjaan mengerjakan haji lebih daripada RM15,000 seorang. Kos tanggungan haji ini dapat ditampung melalui hasil daripada keuntungan pelaburan tahunan TH.


Namun, sebagai pengurus dana di Malaysia, TH juga sentiasa mencari peluang pelaburan sama ada di dalam mahupun di luar negara bagi menjana pendapatan kepada para pendepositnya yang kini telah melebihi 7 juta orang.

Perancangan TH bagi pelaburan di London adalah menjurus kepada pemilikan bangunan pejabat yang mempunyai penyewa jangka panjang dan di lokasi sekitar bandar raya ini yang berpotensi untuk peningkatan nilai pasaran hartanah tersebut.

Setiap pelaburan yang dibuat oleh TH akan melalui beberapa peringkat proses penilaian yang mengambil kira semua aspek termasuk risiko, syariah, kadar pulangan, perundangan dan bidang industri tertentu yang selaras dengan objektif dan Akta TH.

Perlu juga dijelaskan bahawa TH, dalam aktiviti perniagaannya terlibat dalam pelaburan yang berbagai corak dan bidang selain daripada menentukan semua aktiviti ini menepati dengan kehendak syariah. TH sentiasa ingin menjamin pulangan jangka panjang yang menguntungkan pemegang kepentingan (stakeholders) TH.

Selaras dengan Pelan Strategik lima (5) tahun bagi memastikan pulangan pelaburan yang berulang, TH juga akan meninjau pelaburan hartanah di luar negara selain daripada pelaburan di Arab Saudi.

Malah pelaburan di luar negara terutama pelaburan hartanah di London juga diceburi oleh institusi GLIC lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

TH perlu mempelbagaikan aktiviti perniagaannya yang tidak melabur dalam negara sahaja bagi menjamin TH berdiri kukuh sebagai institusi kewangan Islam yang membantu memperkasakan ekonomi ummah. Ini selari dengan misi TH iaitu, "Tunggak kejayaan ekonomi ummah; pengurusan haji terbilang."

Pemilikan hartanah di negara asing juga membuktikan kepada dunia kemantapan kewangan Islam yang diterajui oleh TH. Sehingga kini, TH berjaya memainkan peranannya dengan jayanya oleh kerana polisi pelaburan dan pengurusannya yang baik.

Ini terbukti dengan rekod pencapaiannya di mana TH berjaya mengumumkan pembayaran bonus yang kompetitif kepada para pendepositnya. Tahun lalu, TH memberi pembayaran bonus pada kadar enam peratus (6%) yang berjumlah RM1.67 bilion kepada para pendepositnya.

Kadar bonus yang diumumkan tersebut adalah lebih baik daripada kadar simpanan yang ditawarkan oleh kebanyakan kadar simpanan perbankan Islam di Malaysia, yang menawarkan pulangan pada secara purata 3%. Dari segi pengurusan operasi haji pula, nyata TH cemerlang di bidang ini kerana organisasi ini diiktiraf oleh Arab Saudi dan beberapa negara Islam lain sebagai terbaik dalam menguruskan jemaah.

Transformasi dalam TH sentiasa berlaku mengikut peredaran masa dan keadaan perniagaan yang lebih mudah terpengaruh dengan keadaan ekonomi global.

TH sedar akan perkara ini dan sentiasa mempertingkatkan kemampuannya dengan melaksanakan pelan perancangan perniagaan yang strategik bagi memastikan segala pelaburan yang dilakukan memberi pulangan yang kompetitif untuk para pendeposit.

Kami berharap maklum balas yang diberikan ini dapat menjelaskan isu pelaburan dan perkhidmatan yang disediakan oleh TH kepada umat Islam di negara ini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan