Isnin, 11 Jun 2012

Sultan Ibrahim sebak


 Foto – Ihsan Utusan Malaysia Online.

Oleh HANIZA HASSAN, pengarang@utusan.com.my
ARKIB : 11/06/2012

JOHOR BAHRU 10 Jun - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebak ketika menyampaikan titah di hadapan kira-kira 30,000 rakyat Johor pelbagai kaum dan agama yang berhimpun secara aman di perkarangan Istana Pasir Pelangi di sini bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada baginda.

Sambil menitiskan air mata, Sultan Ibrahim bertitah tidak akan melupakan hari ini yang dianggap amat bersejarah.

Dalam titah di perhimpunan yang dianjurkan oleh Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) itu juga, Sultan Ibrahim turut menegaskan menjadi amanah kepada baginda sebagai Sultan Johor untuk menyayangi rakyat negeri ini.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas ikrar taat setia yang dilafazkan dan ucapan sayang kepada saya. Saya tidak akan melupakan hari ini yang amat bersejarah.

“Tidak ada rakyat, tiadalah raja. Raja dan rakyat berpisah tiada," titah baginda yang turut ditemani Sultanah Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan putera-puteri baginda.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima lafaz ikrar taat setia daripada wakil Gabung, Ahmad Tarmizi Yusof serta kunjungan hormat daripada 14 wakil NGO Johor yang menghadiri perhimpunan berkenaan.

Baginda turut bertitah supaya rakyat di negeri ini bersatu padu tanpa mengira kaum mahupun agama.

“Saya minta rakyat semua bersatu tidak kira kaum. Bersatu kita kuat, bercerai kita runtuh," titah baginda.

Himpunan tersebut diadakan ekoran kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin yang sebelum ini menerusi akaun Twitternya mempersoalkan pembelian nombor pendaftaran WWW 1 oleh Sultan Johor yang dibida pada harga RM520,000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan