Jumaat, 15 Jun 2012

Sabung nyawa demi seperdu pokok paku aji RM500


Arkib  Selasa Julai 24, 2007
Oleh CHE SAAD NORDIN


BALING:  Siapa sangka pokok paku aji, sejenis tumbuhan liar spesies paku pakis yang tumbuh di celahan batu gunung, sememangnya mempunyai nilai komersil yang tinggi sebagai tanaman hiasan.

Di sini, pokok ini hanya boleh didapati di atas Gunung Baling, dan telah sejak sekian lama menjadi buruan kerana tumbuhan liar itu boleh memberikan pendapatan lumayan kepada mereka yang rajin mencarinya.

Bagi satu perdu pokok paku aji, nilai pasarannya boleh mencecah sehingga RM500.

Pokok itu amat cantik menghiasai laman rumah walaupun ia tidak berbunga. Ia boleh ditanam di dalam pasu, mempunyai perdu yang seakan sama perdu pokok kelapa tetapi jarang ditemui paku aji yang berukuran tinggi.

Bagi yang digunakan sebagai tanaman hiasan, ketinggian pokok paku aji jarang sekali mencecah ketinggian 1.0 meter.

Risiko terjatuh dari gunung

Kegiatan mencari pokok paku aji di Gunung Baling untuk tujuan komersil telah lama dilakukan oleh beberapa orang penduduk tempatan.

Menurut seorang pencari yang telah terlibat dalam bidang berkenaan, Jamaluddin Md Rejab, 56, dari Kampung Bawah Gunung, di sini, kerja itu berbahaya tetapi hasilnya amat "berbaloi".

Mengenai bahaya yang menunggu sekiranya kurang berhati-hati ketika kerja mencari dan membawa turun pokok itu, beliau berkata pernah berlaku satu insiden di mana seorang pencari pokok paku aji ditimpa maut akibat terjatuh dari gunung ketika membawa turun pokok berkenaan beberapa tahun lepas.

Jamaluddin, yang berpengalaman lebih 20 tahun menjadi pencari pokok paku aji di atas Gunung Baling, belum pernah mengalami kejadian buruk selain terserempak dengan beberapa spesies ular termasuk ular kapak gunung.

Katanya, ular ini memang berbisa dan sesiapa yang terkena patukannya perlu mendapatkan rawatan segera.

Tegas beliau, ada beberapa pantang-larang yang masih diamalkannya semasa berada di atas gunung bagi mengelak kejadian buruk berlaku, tetapi enggan menjelaskannya lebih lanjut.

Pencari bergadai nyawa

Katanya kerja mencari perdu yang mempunyai nilai estetika dan komersil yang tinggi bukanlah sesuatu yang mudah, kerana perdu yang mempunyai bentuk yang cantik sahaja yang akan dipotong.

"Pembeli sanggup membayar harga yang tinggi bagi perdu yang mempunyai bentuk menarik seperti bentuk naga atau objek tertentu. Ada yang sanggup membayar sehingga RM500 bagi satu perdu sementara bagi yang tiada bentuk menarik harganya adalah sekitar RM50 sahaja.

"Selepas dipotong, perdu itu terpaksa dibawa turun dengan memikul di atas bahu dari atas gunung ke bawah, dengan ketinggian kira-kira 250 meter."

Jamaluddin berkata, bukan mudah untuk mendapatkan walaupun seperdu kerana pokok itu hidup di celah-celah batu di atas gunung dan di kawasan curam yang licin di mana si pencari terpaksa "bergadai nyawa" untuk mengambilnya.

 
Setiap hari dia hanya mampu membawa turun seperdu sahaja pokok berkenaan selepas mencari sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam di kawasan berbatu dan curam.

Jika hari tidak hujan, seawal 8 pagi Jamaluddin sudah memanjat Gunung Baling hingga ketinggian lebih 250 meter dan kebiasaannya beliau melakukan kerja itu seorang diri.

Beliau yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong kepada kumpulan pendaki atau pelancong yang ingin mendaki Gunung Baling, berkata kerja mencari pokok paku aji kini menjadi kerja tetapnya untuk menyara hidup keluarga kerana pendapatan dari usaha berkenaan agak lumayan.

"Walaupun pokok paku aji banyak tumbuh di atas Gunung Baling, tetapi bukan semuanya boleh diambil untuk dijual kerana tidak banyak pokok mempunyai bentuk yang menarik yang mampu memikat pembeli," katanya.

Pokok tidak akan pupus

Beliau berkata walaupun kerja mengambil pokok itu dilakukan secara intensif ia tidak akan menjejaskan populasi pokok itu di gunung berkenaan.

"Pokok paku aji di atas Gunung Baling tidak akan habis kerana ia akan tumbuh semula melalui batang yang patah. Walaupun dipotong dia akan tumbuh semula kerana paku aji membiak melalui tunas," katanya.

Beliau berkata Gunung Baling, yang kelihatan berdiri megah dari Pekan Baling, sememangnya mempunyai banyak pokok itu.

Katanya terdapat kurang 10 orang yang melakukan kerja mengambil pokok berkenaan.

Mengenai pembeli, beliau memberitahu kebanyakan dari mereka datang dari pantai timur Semenanjung, Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur .

"Kebanyakan peminat paku aji adalah masyarakat Melayu. Bagi masyarakat Cina, mereka kurang berminat kerana pokok ini hidup di atas gunung dan dari kepercayaan mereka ia adalah kurang baik untuk ditanam di halaman rumah," katanya.

Menurut Jamaluddin lagi, beliau mempunyai golongan pembeli sendiri yang sanggup datang ke rumahnya.

Dan ada juga yang telah membuat tempahan mahukan pokok dalam jumlah, ukuran serta bentuk tertentu, tambahnya. BERNAMA

Sumber: MStar Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan