Jumaat, 15 Jun 2012

Rezeki asam tempoyak


Wartawan Sinar Harian
16 Jun 2012 
 Patimah bersama suaminya, Wan Jamaluddin menunjukkan tempoyak yang sedia untuk dipasarkan.

BUKIT BETONG - Seorang warga emas di sini mampu menjana pendapatan antara RM520 hingga RM780 sebulan dengan hanya menjual asam tempoyak.

Usahawan tempoyak, Patimah Aminullah, 64, berkata, dia sebelum ini membuat asam tempoyak hanya pada musim durian.

“Sebelum ini saya membuat asam tempoyak secara kecilkecilan pada musim durian dan hanya menjual kepada jiran-jiran serta mereka yang gemar dengan masakan tersebut.

“Tetapi lama-kelamaan, asam tempoyak saya laris dalam kalangan masyarakat di sini termasuk bandar Lipis,” katanya, di sini, semalam.

Sehubungan itu Patimah berkata, sambutan menggalakkan itu menyebabkan suaminya, Wan Jamaluddin Wan Mohamad, 72, mencadangkan dia membuat asam tempoyak secara  komersial memandangkan banyak permintaan selepas musim buah-buahan.

“Sejak dua tahun lalu, kami memborong durian terus dari kebun di Kampung Betau, Kampung Kuala Medang, Kampung Tanjong Gahai dan sekitar kawasan ini.

“Saya bersengkang mata hingga lewat malam untuk memproses isi durian untuk dijadikan asam,” katanya.

Patimah berkata, isi durian diasingkan sebelum dimasukkan ke dalam bekas kaca dalam peti sejuk supaya tahan lama sehingga durian berbuah semula pada musim berikutnya.
“Saya mempunyai simpanan asam tempoyak seberat 2,000 kilogram dalam dua peti sejuk besar di rumah.

“Isi tersebut diasingkan dalam plastik yang diikat kemas dan disejukkan untuk dijual pada harga RM13 sekilogram,” katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan