Sabtu, 23 Jun 2012

Redah belukar dan lumpur cari belut


Oleh MOHAMED SAARI, utusanjohor@utusan.com
ARKIB : 21/06/2012

LABIS 20 Jun - Belut mungkin menggelikan bagi sesetengah orang, namun ramai menggemarinya kerana khasiat yang terkandung di dalamnya, malah ada yang sanggup berpanas dan meredah belukar, lumpur serta paya untuk mendapatkannya.

Dua sahabat, Syamsul Akhbar Ghafar, 51, dan Shaifuddin Khalil, 46, sanggup menghadapi pelbagai rintangan untuk mendapatkan spesies ikan air tawar yang berkulit licin ini yang biasanya mendiami kawasan sawah dan paya berlumpur serta berair cetek.

Syamsul Akhbar yang berpengalaman memancing belut sejak berusia belasan tahun berkata, belut jantan boleh mencapai panjang 40 sentimeter selepas berumur 10 bulan sementara betina 30 sentimeter dan biasanya akan membuat lubang lumpur sebagai tempat tinggal.

"Saya sudah lama meninggalkan aktiviti ini kerana sibuk dengan kerja di kilang papan sebelum ini, namun selepas tidak lagi bekerja dan menoreh getah sejak tiga tahun lalu saya mempunyai banyak masa untuk memancing belut, terutama sebelah petang.

"Apa yang penting adalah kepuasan memancing dan sedikit hasil tangkapan untuk hidangan kami sekeluarga. Ia juga sukar didapati dan harga di pasaran sekarang mencecah RM30 sekilogram.

"Jadi, wajarlah saya memancing bersama Shaifuddin, terutama pada hari tidak menoreh," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Menurut Syamsul Akhbar, memancing belut tidak memerlukan peralatan khusus seperti memancing ikan dan masa yang diambil adalah singkat.

Malah, katanya, peralatan seperti pancing dan mata pancing juga tidak memerlukan belanja besar kerana ia diperbuat sendiri menggunakan jarum yang dipatahkan dan diikat pada seutas tali pancing sepanjang satu meter dan menunggu kurang seminit.

Katanya, pengalaman manis sepanjang memancing belut adalah ketika mendapat hasil tangkapan kira-kira 25 kilogram tahun 1995 dalam masa kurang enam jam ketika menetap di Felda Gugusan Bukit Mendi di Triang, Pahang.

"Ketika itu masih banyak kawasan yang menjadi habitat belut dan keadaannya berbeza dengan hari ini yang mana semua kawasan tersebut sudah menjadi kebun.

"Itu merupakan rekod tangkapan paling banyak yang pernah saya peroleh dan tidak mungkin dapat dirasai lagi memandangkan kawasan pembiakan belut semakin berkurangan," ujarnya.

Shaifuddin pula tidak menyangka perkenalan dengan Syamsul Akhbar tiga tahun lalu dan mengikutinya memancing belut bertukar menjadi hobi menyeronokkan di samping mendapat hasil yang secara tidak langsung mengurangkan belanja dapur.

Katanya, sebelum mengenali Syamsul dia langsung tidak mengetahui cara memancing belut walaupun menyukai masakan berkenaan, namun selepas sekali mencuba tidak pernah melepaskan peluang untuk memancing bersama.

"Walaupun kawasan untuk memancing semakin berkurangan akibat kebanyakan kawasan paya sudah kering dan bertukar menjadi kebun kelapa sawit, namun setiap kali memancing kami jarang pulang hampa kerana tidak ramai orang yang memancing belut sekarang.

"Selalunya waktu yang paling sesuai untuk memancing belut ialah awal pagi dan lewat petang kerana ketika itu merupakan 'waktu galak' belut menjamah umpan. Tengah hari pula, belut biasanya kurang aktif dan tidak sesuai untuk memancing," katanya.

Tambah Shaifuddin, setakat ini mereka tidak menjual hasil tangkapan tersebut kerana ia sekadar untuk dinikmati bersama keluarga.

Jelasnya, rasa belut liar atau belut sawah adalah manis dan enak berbanding belut yang diternak di kolam menjadi faktor dia bersama Syamsul Akhbar sanggup meredah semak samun dan lumpur serta risiko terserempak haiwan bahaya seperti ular sawa yang gemar mendiami kawasan berpaya atau berair.

Namun, dia bersyukur kerana sepanjang melakukan kegiatan memancing belut sejak tiga tahun lalu mereka belum pernah terserempak dengan haiwan berbisa serta mengalami situasi yang mencemaskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan