Khamis, 7 Jun 2012

Polis diminta siasat sindiket jual watikah, lambang palsu


2012/06/07

BUTTERWORTH: Wakil Kerabat Diraja Perak mahu polis menyiasat dan mengambil tindakan ke atas sindiket yang didakwa menjual watikah dan logo kereta palsu kepada orang awam sejak setahun lalu.

Wakil Kerabat Diraja Perak, Raja Mudzafar Shah Raja Mokhtar berkata, pihaknya tidak pernah menjual watikah mahu pun logo kereta ini secara komersial atau menawarkannya secara terus.

Beliau berkata, sebaliknya lambang tersebut dianugerahkan kepada individu terpilih melalui sokongan daripada kerabat.

Raja Mudzafar berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada dua lelaki yang menjadi mangsa individu yang menggelarkan diri sebagai ‘Pak Ungku’ dan mendapati ada sindiket dipercayai memperdaya ratusan orang di sekitar Bukit Mertajam dan Kulim, Kedah, menjual lambang pada harga RM2,000 hingga RM5,000.

"Pihak Istana Bukit Tambun tidak pernah menjual watikah mahu pun logo kereta ini secara komersial. Kita juga tidak menawarkannya secara terus, sebaliknya dianugerah kepada individu terpilih melalui sokongan kerabat.

"Pemilik watikah juga tidak pernah mendapat apa-apa keistimewaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Raja Mudzafar berkata, watikah asli mempunyai tandatangan ayahanda saudaranya, Raja Kecil Dihilir Perak, Datuk Seri Raja Izzudin Iskandar Shah Sultan Idris A’fifullah Shah yang dipercayai dipalsukan dengan menggunakan teknik imbasan salin dan tampal.

"Pihak istana berasa amat dukacita dengan watikah ciplak. Setiap logo asli akan mempunyai nombor rekod siri manakala yang palsunya tiada.

"Hanya 22 individu sahaja di kawasan Utara yang dianugerahkan watikah dan logo kereta Ahli Kerabat DiRaja Perak sejak 2009," katanya.

Seorang mangsa sindiket, Ang Hiang Soon, 42, berkata beliau ditawarkan watikah itu ketika bertemu seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya dengan nama Tengku Ismail atau Pak Ungku.

Ang berkata, dalam pertemuan di sebuah hotel dekat Bukit Mertajam, orang yang mendakwa dirinya Pak Ungku itu meminta bayaran RM2,000 untuk mendapatkan watikah berkenaan dan dijanjikan tidak akan dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahu pun polis.

"Saya sedar telah ditipu lelaki itu selepas disaman polis dalam satu sekatan jalan raya, dua bulan lalu. Setakat ini, sudah ada tiga saman, dua membabitkan kesalahan trafik dan satu JPJ kerana kereta bercermin gelap,” katanya.

Ang telah membuat laporan polis pada 31 Mei lepas dan merujuk perkara itu kepada Raja Mudzafar bagi mengesahkan kesahihan watikah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung sindiket berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

"Polis sudah mengenal pasti anggota sindiket terbabit dan kita percaya akan dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan