Jumaat, 22 Jun 2012

Hampir 4,000 peluk Islam


ARKIB : 21/06/2012

NUSAJAYA 20 Jun - Jumlah saudara baru di negeri ini yang memeluk Islam dari 2008 hingga April ini seramai 3,853 orang dengan kaum Cina mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 815 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, kaum India pula 683 orang, Iban (626 orang), Kadazan (225 orang), Bidayuh (175 orang), Orang Asli (257 orang), warga asing (687 orang) dan lain-lain (395 orang).

“Jumlah saudara baru yang telah memfailkan keluar agama Islam dalam tempoh sama adalah seramai tiga orang dan ia disebabkan oleh keruntuhan institusi rumah tangga," katanya menjawab soalan Dr. Mohamad Taslim (Pas-Maharani) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Menurutnya, peruntukan RM43 juta telah diberi kepada golongan asnaf mualaf sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi Dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong berkata, kerja rancangan tebatan banjir di Lembangan Sungai Muar sedang dijalankan secara berfasa dan tiga kontrak telah dipanggil dan sedang dilaksanakan.

Menurutnya, kontrak pertama adalah menaikkan taraf Sungai Genuang dan kerja-kerja berkaitan sedang diusahakan oleh Syarikat Damaikon Sdn. Bhd.

“Projek tersebut telah dimulakan pada 15 Julai tahun lalu sehingga 14 Januari tahun depan dengan status pelaksanaan 77 peratus dan kos sebanyak RM16 juta.

“Kontrak kedua pula menaikkan taraf Sungai Chodan dan kerja-kerja berkaitan dengan kos RM23.8 juta itu telah dilaksanakan oleh Syarikat HLM Sdn. Bhd. dan setakat ini sebanyak lima peratus kerja sedang dilaksanakan,’’ katanya.

Menurutnya, kontrak ketiga adalah menaik taraf Sungai Chodan dari Kampung Selumar ke Kampung Paya Pulai dan kerja-kerja berkaitan telah diusahakan oleh syarikat KH Setia Holdings Sdn. Bhd. dengan kos RM43.4 juta," katanya menjawab soalan Ayub Rahmat (BN-Kemelah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan