Jumaat, 1 Jun 2012

Gurauan punca ramai isteri jadi ibu tunggal


Oleh Abu Bakar Al Sidek
2012/06/01

HUTAN MELINTANG: Kegagalan suami memahami ajaran Islam dengan menjadikan perkataan cerai dan talak sebagai bahan gurauan atau cubaan menakut-nakutkan isteri, menyaksikan ramai wanita menjadi ibu tunggal secara mengejut.

Peguam Syarie, Saiful Adli Mohd Arshad, berkata beliau banyak mengendalikan kes perceraian yang berpunca daripada tindakan suami yang melafazkan talak tanpa niat.

“Ada suami yang disoal memberitahu mereka hanya bergurau-senda, suka-suka dan main-main atau sekadar mahu menakut-nakutkan isterinya supaya tidak terlalu garang.

“Si suami akhirnya terperanjat apabila diberitahu mereka tidak lagi boleh bersama dengan isteri masing-masing kerana sudah jatuh talak meskipun ia dilafazkan sewaktu bergurau,” katanya ketika menyampaikan ceramah kepada ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hutan Melintang ,di sini, kelmarin.

Saiful Adli berkata, ada juga suami melafazkan talak atau cerai secara tidak jelas (lafaz Kinayah) atau secara sindiran hingga menimbulkan kekeliruan isteri berhubung status perkahwinan mereka.

Katanya, antara lafaz talak tidak jelas seperti ‘mulai hari ini kamu (isteri) boleh balik ke rumah ibu bapa kamu, jangan datang ke sini lagi’ atau ‘mulai hari ini kita pilih jalan masing-masing’.

“Jika perkara itu berlaku, isteri dinasihatkan segera membuat aduan ke Mahkamah Syariah untuk memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai.

“Mereka perlu menemui hakim dan beritahu kes suami melafazkan cerai secara kurang jelas dengan menyatakan tarikh dan di mana lafaz itu dibuat.

“Hanya dalam keadaan ini, hakim mahkamah syariah mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada jatuh talak atau tidak selepas membuat analisa dan kajian terperinci dari pelbagai sudut hukum nikah dan cerai,” katanya.

Berikutan itu, Saiful Adli menasihatkan suami isteri supaya tidak menjadikan lafaz cerai dan talak sebagai bahan mainan atau gurau-an.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan