2012/05/22
JELI: Pemohon yang gagal melanjutkan pelajaran ke IPTA tidak
perlu bimbang kerana mereka berpeluang belajar di Universiti Teknologi MARA
(UiTM) yang menawarkan 10,000 tempat untuk program khasnya.
Di bawah program itu, pelajar akan mengikuti pengajian peringkat
pradiploma, praperdagangan dan prasains selama 16 minggu di kampus cawangan
UiTM seluruh negara.
Naib Canselornya, Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata
kerajaan menyedari persaingan hebat untuk memasuki IPTA, manakala mereka dari
kawasan luar bandar pula tercicir bukan disebabkan tidak pandai tetapi
kekurangan kemudahan dan persekitaran kehidupan keluarga.
Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.
“Program ini memberi mereka peluang meneruskan pengajian di
UiTM dan memilih bidang pengajian bersesuaian sama ada pada peringkat diploma
dan ijazah selepas menamatkan program khas berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, ia sebahagian daripada program khas Jelajah
Destini Anak Bangsa 1Malaysia yang diperkenalkan tahun ini anjuran Gerakan
Destini Anak Bangsa (GDAB) dengan kerjasama UiTM.
“UiTM dan GDAB turun padang melihat pelajar yang gagal
melanjutkan pelajaran ke IPTA dan mencari mereka di kalangan keluarga miskin
yang tidak mampu membiayai pengajian untuk dibantu.
“Ini atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
yang mahu kita menjelajah, termasuk di kawasan luar bandar untuk membantu
supaya mereka tidak ketinggalan pendidikan,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan surat tawaran
kemasukan UiTM dan taklimat kemasukan menerusi program yang disempurnakan
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, di Pondok
Moden Jeli di sini, semalam.
Sahol Hamid berkata, setakat ini program itu berjaya menarik
kira-kira 30,000 pengunjung yang diadakan di sembilan negeri dan daripada
jumlah itu lebih 3,800 pelajar memenuhi syarat minimum kemasukan sudah menerima
tawaran berkenaan.
Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
anak saya ke uitm dungun sabtu ini...semoga semuanya berjalan lancar
BalasPadam