Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Mohd
Nasaruddin Parzi
2012/05/09
Wisma Putra terima nota diplomatik kecam perhimpunan di
Makkah
KUALA LUMPUR: Arab Saudi menghantar nota diplomatik kepada
Wisma Putra, melahirkan rasa kecewa dengan tindakan rakyat Malaysia mengadakan
perhimpunan haram di Makkah dan Madinah, 28 April lalu.
Dalam nota itu, Arab Saudi meminta kerajaan memastikan dan
melarang rakyat Malaysia tidak lagi menyertai atau menganjurkan apa-apa
perhimpunan di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata nota bertarikh
3 Mei lalu yang dihantar melalui kedutaannya di sini, turut meminta Malaysia
mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan peristiwa sedemikian tidak
berulang.
Anifah berkata, makluman yang diterimanya nyata menimbulkan
kebimbangan kepada kerajaan berhubung persepsi Arab Saudi terhadap Malaysia.
“Selama ini Arab Saudi menyifatkan rakyat Malaysia sebagai
yang terbaik dalam mengerjakan ibadat haji setiap tahun, jadi dengan adanya
tindakan (demonstrasi) ini, ia mencemarkan imej negara kita.
“Kita bimbang jika tindakan sedemikian tidak dikawal, kuota
haji yang dikeluarkan Arab Saudi kepada Malaysia akan dikurangkan, malah tidak
mustahil tidak diberi langsung,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Pada 28 April lalu, sempena perhimpunan BERSIH 3.0,
sekumpulan rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di Arab Saudi dikatakan
turut mengadakan perhimpunan di Makkah dan Madinah dengan memakai baju kuning
serta memegang kain rentang ‘duduk bantah’.
Tindakan itu mendatangkan rasa kurang senang kerajaan Arab
Saudi yang tidak mahu tanah suci dijadikan medan untuk perkara lain selain
beribadat.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan Arab Saudi amat sensitif terhadap
sebarang bentuk demonstrasi, terutama selepas Revolusi Arab pada 2010 yang
memberi kesan besar terhadap mereka.
“Mereka menekankan saban tahun betapa pentingnya umat Islam
dari seluruh dunia supaya tidak membuat sebarang program lain selain haji dan
umrah di tanah suci.
“Setiap tahun, mereka tidak pernah lekang memuji kita kerana
jemaah kita patuh kepada peraturan ditetapkan,” katanya selepas menyerahkan
tiket penerbangan dan sumbangan kepada dua peserta Umrah Seringgit Sejuta Nilai
(USSI) di sini, semalam.
Berhubung dakwaan pembangkang bahawa keputusan Majlis Fatwa
Kebangsaan mengharamkan perhimpunan haram seperti BERSIH 3.0 bersifat politik,
Jamil Khir berkata, hukum agama tidak boleh dilihat mengikut kehendak
masing-masing kerana ia dibuat menggunakan pendekatan ilmu dan kesepakatan.
“Majlis Fatwa bersidang dengan penuh kebebasan dan tuduhan
(pembangkang) itu merendahkan martabat Majlis yang mana jawatankuasanya dipilih
Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan