Jumaat, 27 April 2012

Pengharaman LGBT: Tak perlu fatwa bagi perkara yang jelas


2012/04/27

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata umat Islam tidak perlu menunggu fatwa untuk mengharamkan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ini kerana katanya, perkara itu sudah jelas menyalahi hukum agama Islam.

"Fatwa dikeluarkan untuk perkara yang tidak jelas. Ini sangat jelas hukuman kepada golongan peliwat dan zina. Allah turunkan bala kepada kaum Nabi Lut kerana mereka mengadakan hubungan terlarang di antara lelaki dan lelaki," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Beliau yang ditemui selepas merasmikan penyiaran saluran televisyen Al Hijrah menerusi Hypp TV, berkata hukum serupa juga meliputi penyokong dan mereka yang memperjuangkan kumpulan itu.

Sementara itu, mengenai penyiaran Al Hijrah oleh Hypp TV, Jamil Khir berkata Al Hijrah boleh ditonton pelanggan jalur lebar Unifi menerusi saluran 114.

"Daripada statistik yang kita peroleh, siaran Al Hijrah yang berkonsepkan Islam ini mempunyai jumlah penonton teramai dari Jepun, Mesir dan Arab Saudi," katanya.

Ini menunjukkan televisyen itu diminati oleh golongan pelajar Malaysia di luar negara dan membuktikan ia diterima oleh orang muda, katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan