Jumaat, 20 April 2012

Bantu rakyat miliki kenderaan


Oleh AZMAN IBRAHIM, bisnes@utusan.com.my

SHAH ALAM 19 April - Setelah hampir tiga tahun memberhentikan perniagaan kenderaan terpakai, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) akan memperkenal semula jenis perniagaan itu, suku ketiga tahun ini.

Buat permulaan, perniagaan baharu tersebut adalah untuk memenuhi permintaan penduduk di Lembah Klang.

Perodua juga dijangka menstruktur semula organisasi dan model perniagaan itu pada pertengahan bulan ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, syarikat juga dalam proses mencari semula bakat dan tenaga kerja yang berpengalaman dalam jenis perniagaan berkenaan.

Malah, jelasnya, perniagaan kenderaan terpakai Perodua dijangka menolong rakyat berpendapatan rendah untuk memiliki kenderaan Perodua pada harga yang berpatutan dan dijamin kualitinya.

Kata Aminar Rashid, pihaknya juga membenarkan konsep perniagaan tukar beli (trade in).

"Kita akan cari orang berpengalaman di luar sana bagi membantu mempercepatkan prestasi perniagaan yang baru bermula pada tahun ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini baru-baru ini sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM).

Tambah Aminar Rashid, Perodua terpaksa berhadapan dengan beberapa cabaran dalam perniagaan tahun ini termasuk Garis Panduan Mengenai Amalan Pembiayaan yang Bertanggung jawab yang ditetapkan Bank Negara Malaysia.

Katanya, garis panduan tersebut telah menjejaskan perniagaan Perodua terutamanya bagi model Viva.

"Viva merupakan kenderaan untuk kebanyakan pembeli pertama kali dan ia dianggap kenderaan peringkat permulaan bagi kebanyakan pemandu.

"Garis panduan yang ditetapkan BNM telah menyebabkan ramai pembeli tidak mampu untuk memiliki kenderaan,'' katanya.

Ditanya mengenai usaha Perodua untuk menangani masalah tersebut, kata Aminar Rashid, pihaknya telah bertemu dengan Bank Negara Malaysia dan mengemukakan rayuan bagi memendekkan tempoh kelulusan bank untuk pembiayaan kenderaan.

Mengenai skim pembiayaan kenderaan yang akan diperkenalkan Perodua sendiri, Aminar Rashid berkata, pihaknya masih menjalankan kajian terhadap pelaksanaan skim itu.

Katanya, Perodua perlu melihat dari aspek praktisnya sama ada boleh dilaksana ataupun tidak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan