Ahad, 11 Mac 2012

Polemik pendekar Hang Tuah

Oleh Sani Kamarudzaman, sani@bharian.com.my
Tarikh siar: 2012/03/11



Ahli akademik kemuka hujah Hang Tuah wujud, insan pikul tanggungjawab besar bina empayar Melaka serta sebar syiar Islam

DAKWAAN tokoh akademik dan sejarawan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang membangkitkan persoalan mengenai kesahihan kewujudan Hang Tuah menimbulkan polemik dan perdebatan hangat di kalangan tokoh ilmiah, budaya dan masyarakat tempatan.

Buku Laksamana Tun Tuah yang ditulis semula oleh Abdul Samad Ahmad

Januari lalu, Dr Khoo dilaporkan meragui kebenaran di sebalik kisah keperwiraan pahlawan Melayu tersohor itu yang sinonim bersama empat sahabatnya, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Khoo turut menyentuh soal hubungan jalinan diplomatik di antara Kesultanan Melayu Melaka dan Dinasti Ming, China yang membawa kepada perkahwinan Sultan Mansur Syah, Sultan yang memerintah Melaka dari 1456 hingga 1477 dengan Hang Li Po.

Hikayat Hang Tuah - menurut naskhah Dewan bahasa dan Pustaka - diselenggarakan oleh Kassim Ahmad.

Puteri kepada Maharaja Yongle, Maharaja ketiga dari Dinasti Ming yang memerintah China bermula daripada 1402 hingga 1424 dikatakan pernah dimasyhurkan sebagai isteri kelima Sultan Mansur Syah.

Perkahwinan jurai keturunan wangsa Raja China dengan pembesar atau pemerintah daripada negara asing adalah peristiwa penting yang pastinya akan terakam dalam pustaka sejarah negara China.

Tegas Khoo, adalah mustahil perkahwinan Hang Li Po dan Sultan Mansur Shah tidak tercatat dalam sebarang rekod yang tersimpan di istana negara China.

Logik di sebalik dakwaan kewujudan Hang Tuah tambah diragui kerana sebarang bukti yang dikaitkan mengenai kehidupannya hanya bersandarkan dalil, hujah serta cerita mulut atau proses-verbal turun-temurun yang tidak konkrit dan nyata.

Adikarya klasik agung seperti Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang dan Sulalatus Salatin menukilkan keunggulan serta kehebatan Hang Tuah dengan gambaran kesempurnaan yang muluk-muluk juga tidak mampu menyokong natijah kewujudan Hang Tuah di bumi Melaka.

Maka, pada 28 Februari lalu bertempat di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, Kerajaan Melaka bersama Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) menganjurkan Seminar Antarabangsa: Hang Tuah Sebutir Lazuardi Di Persada Tamadun Bangsa sempena 750 tahun kewujudan Melaka di peta dunia.

Hang Tuah diangkat sebagai subjek seminar menjadi dasar pembicaraan tujuh cendikiawan daripada universiti dalam dan luar negara membuat analisis terhadap tajuk yang diketengahkan untuk diwacanakan secara tuntas dan komprehensif.

Perasmian seminar itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam. Acara itu menerima penyertaan daripada 1,080 orang peserta yang hadir dengan satu objektif, untuk menyelami watak serta keperibadian manusia bernama Hang Tuah dan mengakui kebenaran serta hakikat kewujudannya.

Ketokohan Laksamana Hang Tuah di sebalik keagungan empayar agung dunia seperti Melaka sebagai sebuah pusat maritim antarabangsa terbesar dan termasyhur di alam Melayu pada abad ke-15 seharusnya menerima pengiktirafan yang sewajarnya.

Mohd Ali dalam ucapannya sebelum perasmian seminar menyorot kembali lembaran sejarah kegemilangan Melaka sebagai pelabuhan entreport yang aktif dan kaya.

Tambah Mohd Ali, gelaran laksamana yang dianugerahkan kepada Hang Tuah serta status tertinggi dalam wilayah maritim Melaka adalah bukti martabat dan kedudukannya di mata masyarakat dan komuniti pedagang ketika itu adalah tinggi dan terhormat.

“Peranan Hang Tuah amat besar terutama dalam menyebarkan agama Islam ke beberapa negara seperti Majapahit, Pahang, Siak dan Kampar. Kesetiaannya terhadap Sultan Melaka menyebabkan ada pihak yang cemburu sehingga menimbulkan fitnah di kalangan orang besar Melaka.

“Kini ada pihak yang sangsi kesahihan kewujudan Hang Tuah dengan menyatakan ia adalah mitos. Namun begitu, kita meyakini kewujudan manusia Hang Tuah dalam empayar Kerajaan Melayu Melaka berasaskan sumber utama iaitu karya agung Sejarah Melayu. Sejarah Melayu adalah sumber pribumi yang tepat untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah,” katanya.

Sumber: Berita Minggu Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan