Sabtu, 24 Mac 2012

Akhbar Melayu tetap relevan

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL, pengarang@utusan.com.my

PULAU PINANG 23 Mac – Akhbar berbahasa Melayu di negara ini masih relevan sebagai medium pengiklanan popular kerana ia mempunyai jumlah pembaca yang ramai.

Pensyarah Komunikasi Pemujukan dan Pengiklanan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff berkata, ini kerana akhbar berbahasa Melayu tidak mengalami kejatuhan edaran tetapi kekal konsisten biarpun ledakan teknologi mewujudkan media baru di Internet.

“Jumlah edaran akhbar berbahasa Melayu tetap meningkat dan ia berbeza dengan edaran akhbar berbahasa Inggeris yang mengalami kemerosotan.

“Pakar media yang lebih bersifat kebaratan pula hanya melihat akhbar bahasa Inggeris sebagai media pilihan kerana mereka tidak memahami kualiti, reputasi dan kandungan media akhbar bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohamad, keadaan itu menyebabkan syarikat milik kerajaan (GLC) yang menggunakan khidmat pakar media yang lebih mengutamakan akhbar berbahasa Inggeris mengiklankan perkhidmatan mereka dalam akhbar berkenaan.

“Sebenarnya, perkara ini bukan baru berlaku tetapi sudah lebih 10 tahun didebatkan dan sudah sampai masanya satu dasar pengiklanan media digubal mengikut kesesuaian keadilan sosial dan ekonomi,’’ katanya.

Firma penyelidikan, HLIB Research baru-baru ini mengumumkan, nilai keseluruhan pertumbuhan perbelanjaan iklan (Adex) negara ini berjumlah RM8.3 bilion dan akhbar masih menguasai sebahagian besar iaitu 53 peratus dengan akhbar berbahasa Inggeris mendominasi 40 peratus, bahasa Melayu 31 peratus dan bahasa Cina 29 peratus pasaran.

Menurut Mohamad, penguasaan akhbar bahasa Inggeris juga disebabkan oleh andaian kononnya akhbar itu lebih berpengaruh dan sudah cukup untuk menyasarkan penduduk dan rakyat negara ini.

“Sebenarnya, sasaran pasaran sesuatu produk atau perkhidmatan bukan sahaja bergantung pada faktor demografi tetapi juga berkait rapat dengan nilai, sikap dan cara hidup.

“Bagaimanapun GLC tidak seharusnya melihat akhbar Melayu sebagai medium pengiklanan yang kurang popular kerana pembacanya juga adalah ramai,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan