Rabu, 15 Februari 2012

Sekeluarga dapat hidayah

Susunan ZUARIDA MOHYIN

SEBAGAI seorang gadis Kristian yang kemudiannya memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang lelaki Muslim, itu sudah cukup luar biasa bagi Aisha Bhutta.

Namun apa yang telah dilakukan olehnya jauh lebih menakjubkan. Apa tidaknya, dia sebenarnya turut mengislamkan kedua ibu bapanya.

Malah hampir keseluruhan ahli keluarganya serta sekurang-kurangnya 30 orang daripada kalangan kawan dan jiran turut memeluk Islam.

Aisha yang sebelum ini dikenali sebagai Debbie Rogers duduk tenang di sebuah sofa di ruang tamu pangsapurinya yang terletak di Cowcaddens, Glasgow, United Kingdom.

Di dinding ruangan tersebut tergantung sebuah petikan ayat daripada al-Quran dan jam khas yang memberi peringatan kepada isi rumah tersebut akan waktu-waktu solat lima waktu. Poster kota Mekah turut menghiasi dinding ruang rumah berkenaan.

Kilauan mata biru Aisha yang mencerminkan keceriaan dan ketenangan bagai memancarkan cahaya keimanannya. Aisha yang memiliki raut wajah berdarah Scotland, masih ketara meskipun dilitupi hijab.

Keluarga Aisha merupakan pengikut kuat agama Kristian yang mana mereka selalu menghadiri perjumpaan yang dikenali sebagai Salvation Army.

Pada zaman remaja ketika rakan-rakannya yang lain hanya boleh melelapkan mata selepas memeluk dan mencium gambar artis pujaan mereka, namun bagi Aisha, dia lebih selesa menggantungkan gambar Nabi Isa di dinding bilik.

Pun begitu, dia tetap mendapati bahawa ajaran Kristian masih tidak cukup dan masih banyak persoalan yang tidak terjawab.

"Ada banyak lagi yang perlukan penjelasan," tegas Aisha dalam satu pengakuannya di sebuah laman sesawang.

Aisha pertama kali bertemu dengan bakal suaminya, Muhammad Bhutta ketika berusia 10 tahun dan menjadi pelanggan setia di kedai yang dimiliki bapa Muhammad.

Pada masa itu, dia selalu melihat Muhammad bersembahyang di belakang kedai.

"Ada semacam satu perasaan puas hati dan ketenangan dalam apa yang dilakukan Muhammad itu. Katanya dia seorang Muslim," kata Aisha.

Dengan bantuan Muhammad, Aisha mula mendalami tentang Islam. Ketika usianya mencecah 17 tahun, dia telah menghabiskan keseluruhan al-Quran dalam bahasa Arab.

"Semua yang saya baca adalah logik, benar dan diterima akal," akui Aisha yang mengambil keputusan untuk memeluk Islam pada usianya 16 tahun.

"Sebaik sahaja saya mengucapkan kata-kata itu atau melakukan syahadah terasa seperti batu berat yang berada di bahu, hilang serta merta. Saya seperti bayi yang baru dilahirkan," katanya.

Namun, di sebalik pengislamannya itu, ibu bapa Muhammad sebenarnya menentang hasrat perkahwinan mereka, terutamanya bapa Muhammad.

Aisha dilihat sebagai wanita Barat yang akan menyesatkan anak sulung mereka dan akan mengaibkan nama keluarga. Aisha dianggap oleh keluarga Muhammad sebagai musuh.

Walau bagaimanapun, dua sejoli itu tetap meneruskan perkahwinan mereka di sebuah masjid di situ. Aisha pada hari bahagia itu, cantik dengan pakaian pengantin yang dijahit oleh ibu dan adik Muhammad yang menyelinap secara senyap-senyap ke majlis mereka sungguhpun telah dilarang oleh bapanya yang menentang keras perkahwinan tersebut serta bertekad tidak mahu menghadiri majlis penuh bermakna bagi pasangan pengantin muda, Muhammad dan Aisha.

Nenek Muhammad merupakan orang yang bertanggungjawab membuka jalan bagi ikatan pernikahan itu.

Neneknya tiba dari Pakistan, di mana perkahwinan campur dianggap satu tabu, dan dia berharap sangat dapat bertemu dengan Aisha.

Akhirnya, nenek Muhammad begitu terkesan dengan kenyataan bahawa Aisha telah mempelajari al-Quran dan bahasa Punjabi dan dari situ timbul keyakinannya. Lama-kelamaan Aisha menjadi sebahagian daripada keluarga Muhammad.

Ibu bapa Aisha, Michael dan Marjory Rogers, walaupun menghadiri majlis perkahwinan tersebut, namun lebih mengambil berat dengan pakaian yang dipakai oleh anak gadis mereka itu iaitu pakaian tradisi masyarakat Punjabi yang dikenali dengan nama shalwaar kameez.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan