Khamis, 9 Februari 2012

Perak rampas takhta Liga Super Malaysia


ARKIB : 09/02/2012


KUALA LUMPUR – Perak muncul pendahulu baru persaingan bola sepak Liga Super hasil kemenangan 2-1 ke atas Sarawak untuk merampas teraju liga dari Kelantan yang sekadar diikat tanpa jaringan oleh Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Skuad Seladang memintas juara bertahan dengan kelebihan satu mata, iaitu 15 mata berbanding 14 mata yang diraih Kelantan hasil jaringan Michal Kubala dan Fahrul Razi Kamarudin di Stadium Perak, Ipoh pada minit ketujuh dan ke-27 biarpun Sarawak cuba merapatkan jaringan menerusi sepakan penalti Vedran Muratovit (33).

Ketika Wira Merah turun satu anak tangga, Terengganu pula gagal memanfaatkan kelebihannya di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk turut memintas jiran Pantai Timur apabila cuma seri 1-1 dengan kelab Selangor, PKNS.

Seorang lagi pemain import dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona dan pemain skuad Olimpik, Ahmad Shakir Ali mencipta kemenangan ketiga buat Negeri Sembilan namun juara Piala Sultan Ahmad Shah 2012 itu kekal di tangga keempat dengan mengumpul 11 mata.

Skuad Rusa membenam T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban dengan gol minit ke-45 dan ke-65 biarpun sempat dikejutkan pasukan pelawat menerusi jaringan bekas pemain kebangsaan, Zairo Anuar Zalani pada minit ke-36.

Pertembungan tumpuan ramai di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi antara Selangor dengan Lions XII yang digembar-gemburkan sebagai mengimbas semula nostalgia permusuhan Piala Malaysia 80-an, bagaimanapun berkesudahan dengan seri 1-1.

Shahril Ishak merembat masuk dengan kaki kiri selepas menggelecek dua pertahanan tuan rumah, seminit sebelum rehat tetapi K. Gurusamy kembali melegakan Gergasi Merah dengan jaringan penyamaan yang menerjah ke penjuru atas gawang lawan, minit ke-45.

Pertembungan Johor FC dan Felda United di Stadium Pasir Gudang pula dicemari dengan pembuangan padang terhadap pemain pelawat, Irfan Ghani setelah menerima dua kad kuning selain berkesudahan seri 1-1.

Kedah yang bergelut dengan krisis keyakinan peminat terhadap pengurusan pasukan, mengukir kemenangan sulung pada perlawanan keenam semalam dengan menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan