Ahad, 26 Februari 2012

Kejayaan Mardhiyan jadi inspirasi

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Februari 2012



JOHOR BAHRU – Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) optimis hubungan baik dengan sasterawan Indonesia mampu memberi impak positif untuk membawa karya atau istilah kesusasteraan tempatan ke negara itu.

Pengarahnya, Salmiah Ismail berkata, dialog sastera remaja 2012 bersama Novelis Muda Indonesia sebagai salah satu platform perkongsian dan pertukaran idea termasuk pengalaman antara penulis serantau membabitkan aktiviti kesusasteraan.

“Pemilihan novelis Penyair Merah Putih ini (Mardhiyan Novita M Z) memberi motivasi dan meningkatkan apresiasi sastera kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, program seumpama itu adalah salah satu usaha oleh DBPWS untuk memupuk kecintaan di kalangan golongan muda termasuk mengenali dunia sastera sekali gus meningkatkan minat mereka untuk berkarya.

“Kita berharap dapat mengubah mind set masyarakat terhadap bidang sastera, termasuk meningkat budaya membaca di kalangan golongan muda khususnya remaja terhadap karya sastera, dan bukan sekadar membaca untuk lulus peperiksaan,” katanya kepada Sinar Harian pada sesi Dialog Sastera Remaja 2012 bersama Mardhiyan Novita M Z di Balai Seminar DBPS, di sini, semalam yang dihadiri 100 peserta.

Katanya, kebanyakan golongan muda kurang untuk menceburi bidang sastera kerana menganggap ianya tiada nilai ekonomi selain persepsi yang sering membezakannya dengan bidang sains menyebabkan ianya kurang diminati.

“Kejayaan Mardhiyan diharap dapat memberi aspirasi di kalangan remaja khususnya untuk menarik mereka terbabit dalam bidang penulisan kreatif. Kita juga berharap Mardhiyan akan menghasilkan karya berkaitan kesusasteraan tempatan untuk diketengahkan ke Indonesia,” katanya.

Source: Sinar harian Malaysia Online, 25 February 2012.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan