Rabu, 15 Februari 2012

Jakim lancar tiga buku


MEMBACA adalah jambatan ilmu. Itu sebabnya wahyu Allah kepada Nabi Muhammad SAW adalah berkaitan membaca iaitu suruhan iqra'.

Menyedari hakikat ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melancarkan tiga buku baru untuk bacaan umat Islam di negara ini.

Buku-buku tersebut adalah Ensiklopedia Ulama, Abu Abdullah Muhammad Idris al-Muttalibi al-Shafi'i dan Al-Fiqh al-Manhaji.

Pelancarannya dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sempena majlis perhimpunan agensi-agensi di bawah kementerian itu, 10 Februari lalu.

Ensiklopedia Ulama karangan Dr. Mat Saad Abd. Rahman mengetengahkan biografi ringkas para ulama dengan memberi tumpuan khusus kepada ulama mazhab Shafi'i mengikut kronologi tahun kewafatan ulama.

Susunannya yang bermula dari zaman sahabat, tabien dan atba' tabien hingga ulama abad ini. Penulisan yang dimulai sejak tahun 1992 ini turut mengemukakan sejumlah 1,820 ulama dari pelbagai tempat dan bidang keilmuan. Ensiklopedia itu diterbitkan sebanyak 14 jilid dengan harga RM25 bagi setiap jilid.

Buku Abu Abdullah Muhammad Idris al-Muttalibi al-Shafi'i pula menyorot kehidupan ulama tersohor iaitu Imam al-Shafi'i sebagai seorang pendiri mazhab, sejarah penjelajahannya dalam mencari ilmu.

Pada masa yang sama, ia mengemukakan nama-nama guru, sebahagian para sahabat dan murid-muridnya.

Tidak ketinggalan, turut dibongkar keilmuan serta keintelektualan tokoh tersebut dalam pelbagai disiplin ilmu.

Buku itu juga ditulis oleh Dr. Mat Saad Abd. Rahman dan dijual pada harga RM24.50 senaskhah.

Selain pernah menjadi ahli akademik, Dr. Mat Saad aktif dalam bidang penyelidikan dan penulisan serta banyak memberi sumbangan kepada Jakim khususnya sebagai ahli Panel Kajian Syariah Jakim dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Kitab al-Fiqh al-Manhaji Mazhab al-Syafie merupakan kitab terjemahan yang diusahakan oleh Lajnah Penyusunan dan Tashih yang diketuai oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Pengarang asal kitab itu terdiri daripada para ulama Syria yang terkenal iaitu Ashab al-Fadhilah Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan Dr. Ali Syarbaji.

Ia disusun dalam lima jilid dengan harga RM50 bagi setiap jilid.

Dr. Zulkifli ialah ahli Panel Kajian Akidah Jakim, penceramah terkenal dan penulis yang telah menghasilkan pelbagai bentuk penulisan sama ada dalam karya asli atau terjemahan serta aktif dalam penulisan di pelbagai majalah.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan