KUALA LUMPUR 9 Jan. - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan melakukan penambahbaikan terhadap modul latihan fizikal Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) termasuk mengadakan program baru bagi pelatih yang mempunyai masalah berat badan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan yang akan dilaksanakan pada tahun ini bertujuan memastikan modul dilaksanakan untuk pelatih sentiasa relevan dengan perubahan semasa.
"Kita telah melantik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk membuat kajian terperinci terhadap pembaikan modul sedia ada kerana setiap tahun kita mengadakan perubahan.
"Kali ini UPSI secara terperinci mencadangkan beberapa penambahbaikan diperlukan supaya hasil yang diperolehi peserta bertambah baik termasuk membantu pelatih mengurangkan berat badan," katanya selepas mengadakan lintas langsung bagi rancangan Malaysia Hari Ini di Kem PLKN Temasya Rimba Templer dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.
Menurut Zahid, selain perubahan pada modul fizikal, JLKN juga akan melaksanakan penambahbaikan terhadap modul kenegaraan agar ia lebih menyeronokkan dan bermaklumat.
Mengenai pencapaian modul I-SMART bagi memastikan pelatih menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, beliau menjelaskan, kesemua pelatih tersebut telah menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding sebelumnya.
"Namun perlu ada tindakan susulan supaya ia tidak menjadi kekangan apabila mereka memasuki alam pekerjaan. Sebagai pekerja, mereka akan jadi liabiliti jika ketiga-tiga unsur tersebut tidak dikuasai sehingga ke tahap yang dikehendaki," ujarnya.
Source: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan