Isnin, 16 Januari 2012

Malaysia destinasi percutian pelancong


KUALA LUMPUR 16 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bercadang menjadikan Malaysia sebagai destinasi percutian yang lebih menarik bagi pelancong tempatan dan asing.

Perdana Menteri memberi contoh, berdasarkan kepada Pelan Tindakan Pelancongan bagi Langkawi yang dilancarkan Disember lalu, ia bertujuan menjadikan pulau itu sebagai destinasi popular setanding dengan Pulau Seychelles, Mauritius dan Bali.


Pelan itu jelasnya, dijangka dapat mewujudkan 4,200 peluang pekerjaan dan menjana pendapatan sehingga RM3.8 bilion di pulau berkenaan dengan jangkaan kehadiran tiga juta pelancong menjelang 2015.

"Perkara-perkara yang menjadi kebiasaan bagi kita seperti minum teh tarik di kedai mamak, membeli-belah di pasar malam serta menikmati buah-buahan tempatan seperti durian dan langsat menjadi tarikan bagi pelancong dan rakyat asing.


"Saya dapati perkara inilah yang dirindui oleh rakyat Malaysia di perantauan apabila saya ke luar negara dan berinteraksi dengan mereka. Bagi kita yang tinggal di negara ini hampir seumur hidup, ia satu rahmat kerana semuanya begitu mudah untuk kita perolehi sepanjang masa.

"Mungkin atas kesedaran ini atau mungkin disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup, rakyat Malaysia kini cenderung memilih destinasi percutian tempatan khususnya, keluarga yang berpendapatan isi rumah sebanyak RM1,001 hingga RM3,000 sebulan yang merangkumi kumpulan pelancong tempatan teramai," katanya.


Beliau berkata demikian menerusi entri terbaru bertajuk 'Khazanah Istimewa Malaysia' di blognya, http://www.1malaysia.com.my.

Kata Najib, rakyat seharusnya menghargai persekitaran serta khazanah negara termasuk budaya yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara istimewa.

Dalam perkembangan sama, beliau gembira dengan pengiktirafan Melaka sebagai salah satu tempat yang 'mesti dilawat' pada tahun ini oleh The New York Times.


"Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sejarah, budaya dan kepelbagaian jenis makanan, tidak dinafikan Melaka layak diberikan pujian sebegitu.

"Ada kalanya perspektif rakyat asing seperti di atas (pengiktirafan) membantu untuk mengingatkan kita tentang unsur-unsur yang membentuk keunikan kita sebagai rakyat Malaysia," tambahnya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan