17/10/2011 4:56pm
KOTA BHARU 17 Okt. – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, beliau berhasrat mengadakan pertemuan dengan anak Malaysia yang bertanggungjawab mereka bentuk pembinaan menara jam gergasi menghadap Masjidil Haram di Mekah.
Menyifatkan sentuhan indah Wan Nazri Wan Aria, 31, jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch itu satu kebanggaan, beliau berkata, pertemuan itu sebagai satu penghormatan kepada pemuda berkenaan yang memiliki bakat luar biasa.
"Kita berasa bangga bahawa ada anak Malaysia yang berkeupayaan tinggi sehingga mendapat pengiktirafan pihak berkuasa Arab Saudi melalui bakatnya yang diselitkan dalam Menara Hotel Jam Diraja Mekah.
"Saya juga ingin bertemu dengan beliau, bergantung kepada kelapangan beliau, ini satu penghormatan besar dan kita ingin ucapkan tahniah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Temasya Dikir Barat Kelantan, di sini hari ini.
Festival berkenaan merupakan program ke-16 daripada 20 program yang dirancang Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) bersama Kementerian Pelancongan sepanjang tahun ini.
Seramai 1,039 pendikir dan lapan kumpulan pergendangan seluruh Kelantan berhimpun menjayakan festival berkenaan. – Bernama
Source: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan