Selasa, 13 September 2011

Orang utan: Australia tidak layak ajar Malaysia

Foto: Sabah Tourism Board
http://www.sabah.gov.my/


PUTRAJAYA 12 Sept. - Ahli politik Australia tidak layak untuk mengajar Malaysia mengenai cara pemeliharaan orang utan pada ketika mereka membiarkan haiwan primat itu menggigil kesejukan di zoo.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, dakwaan pihak tertentu dari Australia bahawa Malaysia mengorbankan habitat orang utan demi menanam kelapa sawit juga tidak berasas sama sekali.

Foto: Sabah Tourism Board
http://www.sabah.gov.my/


''Malaysia telah menyatakan komitmen kepada dunia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah akan terus diliputi hutan, kita masih mengekalkan komitmen ini.

''Mereka dari Australia tidak mempunyai kedudukan moral yang lebih tinggi untuk mengajar kita kerana saya sendiri melihat orang utan menggigil di zoo negara itu semasa musim sejuk, mereka gagal menjaga orang utan di negara sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai usaha pihak tertentu khususnya pembangkang Australia yang mahu meletakkan label penggunaan minyak sawit pada produk makanan.

Senat negara itu meluluskan perkara tersebut pada Jun lalu dan rang undang-undang berkenaan kini di bawah penelitian satu jawatankuasa sebelum didebatkan di Dewan Rakyat Australia.

Berikutan itu, Dompok berkata, wakil Malaysia telah menyertai inkuiri awam mengenai rang undang-undang tersebut yang diadakan di Parlimen Australia.

''Malaysia menyatakan pendirian bahawa rang undang-undang ini merupakan satu halangan bukan tarif yang menjejaskan peluang pasaran Malaysia dan bersifat diskriminasi.

''Kami turut menjelaskan bahawa dakwaan berlaku pembasmian hutan seluas 300 buah padang bola setiap jam untuk tanam kelapa sawit dan kematian 50 ekor orang utan setiap minggu sebagai tidak berasas," katanya.

Dompok berkata, Malaysia bagaimanapun menghargai sokongan kerajaan Australia termasuk Menteri Perdagangan Australia, Dr. Craig Emerson yang tidak menyokong rang undang-undang tersebut.

''Malaysia akan terus memantau perkembangan isu ini dan kita akan menyampaikan maklumat mengenai kemampanan pembangunan minyak sawit Malaysia.

''Walaupun Australia bukan pasaran yang besar untuk minyak sawit Malaysia jika dibandingkan dengan China dan Eropah namun kelulusan rang undang-undang ini akan menjelaskan pandangan dunia terhadap produk sawit Malaysia," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan