Rabu 07 September 2011.
KUALA LUMPUR 6 Sept. - Kecacatan kaki yang memaksanya berkerusi roda tidak pernah menghalang Aini Azlita Ahmad Kamal, 19, untuk menjejaki menara gading malah kekurangan itulah yang membakar semangatnya untuk berjaya.
Pelajar yang baru mendaftar di Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM) itu berharap kejayaannya menjejakkan kaki ke universiti berkenaan akan menjadi ikutan empat adiknya.
"Saya ingin menjadi contoh kepada adik-adik saya agar mereka juga dapat belajar hingga ke menara gading," ujar anak sulung dari Jalan Kaki Bukit, Kangar, Perlis itu.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Sulaiman itu memperoleh 9A, 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun menitiskan air mata apabila mengenangkan terpaksa berjauhan daripada keluarganya.
"Sebelum ini, saya belajar di Kolej Matrikulasi Perlis dan ini kali pertama saya berjauhan dengan ibu, ayah serta adik-adik," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian dan Upacara Lafaz Akujanji Pelajar Baru 2011/2012 UM di sini hari ini.
Dia bagaimanapun sangat bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan yang membantu dan melayannya dengan begitu baik sepanjang berada di UM.
Aini Azlita berkata, pihak pengurusan universiti dan kolej juga menyediakan kemudahan yang lengkap dan selesa untuk pelajar kurang upaya.
"Saya rasa gembira kerana layanan yang diberikan oleh pihak universiti dan kolej amat memuaskan dan saya tidak rasa terasing dengan pelajar lain," katanya.
Seorang lagi pelajar baru UM, Hafiyyan Lali, 21, yang menghadapi masalah penglihatan berharap dapat melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah kedoktoran dan menjadi pensyarah.
"Saya mahu membantu penduduk kampung di Tawau terutama yang mengalami kecacatan seperti saya," katanya yang akan menuntut di Fakulti Sastera dan Sains Sosial.
Anak sulung daripada empat adik beradik itu memberitahu tiga lagi adiknya juga menghadapi masalah penglihatan sepertinya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, universiti tersebut mempunyai kolej khas yang dilengkapi kemudahan untuk pelajar kurang upaya.
Source: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan