Jumaat, 19 Ogos 2011

Polis Perak kenal pasti 14 lokasi kerap berlaku kemalangan

2011/08/19

IPOH: Polis Perak mengenal pasti 14 lokasi di negeri ini yang didapati kerap berlaku kemalangan maut terutama menjelang perayaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan, berkata antara laluan itu ialah Jalan Ipoh-Simpang Pulai, Ipoh-Teluk Intan, Ipoh-Butterworth, Jalan Sitiawan-Taiping, Ipoh-Lumut, Ipoh-Kuala Lumpur dan Teluk Intan-Hutan Melintang.

Lokasi lain ialah Sri Manjong-Simpang Lekir, Sitiawan-Teluk Intan, Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli dan Ipoh-Taiping, katanya di sini, hari ini.

"Sehubungan itu kita menempatkan seramai 234 anggota polis trafik di lokasi strategik mulai minggu depan sempena operasi di musim perayaan bermula 22 Ogos hingga 16 September ini," katanya yang ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen.

Mohd Shukri berkata, melalui operasi kali ini, pihaknya mensasarkan penurunan kadar kemalangan sekurang-kurangnya lima peratus.

"Pada operasi sebelum ini, kita berjaya menurunkan kadar kemalangan sebanyak lima peratus dan pada tahun ini kita optimis sasaran yang sama akan dicapai," katanya.

Katanya, operasi tersebut turut membabitkan Jabatan Pertahanan Awam, Bomba dan Jabatan Pengangkutan Jalan dan beberapa agensi lain. – BERNAMA

Source: Berita Harian Malaysia Online.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan