Ahad, 14 Ogos 2011

Pakej pelancongan dalam negara jadi pilihan

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Rata-rata pengunjung pameran Matta Fair 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, yang bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini, memilih pakej pelancongan dalam negara sebagai destinasi percutian.

Tinjauan mendapati pengunjung mula memenuhi kaunter pendaftaran seawal 10 pagi bagi membuat pendaftaran untuk memasuki dewan pameran itu.

Kira-kira 19,000 pelawat mengunjungi hari pertama pameran ke-32 itu manakala semalam jumlahnya meningkat kepada 29,800 orang. Pameran itu disertai 940 pempamer terdiri daripada syarikat pelancongan dari seluruh Malaysia yang mempromosikan pakej percutian menarik dalam dan luar negara.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Mohd. Khalid Harun berkata kesemua 2,800 pengusaha pelancongan yang bernaung di bawah persatuan itu giat menawarkan pelancongan dalam negara.

Beliau berkata Matta Fair yang turut diadakan setiap tahun di setiap negeri memberi peluang kepada setiap negeri mempromosikan destinasi menarik di samping memberi peluang kepada pengusaha negeri berkenaan mempromosikan destinasi dari negeri lain.

"Rakyat di negara ini beruntung kerana kita mempunyai kepelbagaian daripada segi budaya serta destinasi menarik. Jika kita pergi ke negeri berbeza kita boleh lihat budaya lain persekitaran lain, ini "selling point" terbaik," katanya.

Katanya antara destinasi pelancongan dalam negara yang mendapat sambutan amat menggalakkan ialah Langkawi di Kedah, Sarawak dan Kelantan.

Mohd Khalid berkata Malaysia mempunyai banyak destinasi yang menarik untuk dipromosikan dan rakyat negara ini memilih melancong dalam negara kerana ia lebih selamat, persekitaran lebih dikenali sekaligus menyokong industri pelancongan dalam negara.

Seorang pengunjung dari Cheras, Juwana Mohamad Shakroni, 25, berkata banyak destinasi pelancongan dalam negara kaya dengan alam semula jadinya termasuk flora dan fauna adalah destinasi yang belum pernah dilawati.

"Memandangkan saya dan suami bercadang untuk pergi ke Teluk Batik, Perak jadi kami mengambil kesempatan untuk datang pada hari ini dan kami sedang berbincang tentang pakej yang telah ditawarkan," katanya kepada Bernama di sini.

Seorang penuntut universiti tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Muiz, 25, dari Seri Kembangan mengambil peluang mengunjung pameran itu untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai pakej percutian.

"Saya sedang mencari pakej percutian ke Kota Kinabalu, Sabah berharga sekitar RM500, saya merancang untuk pergi bersama seorang rakan dan tinggal di hotel," katanya. Warga Pakistan, Aman Khan, 22 berkata dia mengunjungi Matta Fair bagi mencari pakej percutian ke Pulau Sipadan, Sabah.

"Saya datang ke sini hari ini kerana saya ingin tahu lebih lanjut tentang Pulau Sipadan dan pakej yang ditawarkan oleh agen pelancongan yang menyertai pameran ini," katanya.

Seorang guru Matematik dari Klang, Ranjiv Ram, 31, datang ke pameran hari ini untuk membeli pakej percutian ke Pulau Perhentian sebagai hadiah kepada isterinya.

"Saya tidak sabar lagi untuk pergi bercuti dan meluangkan masa bersama isteri saya di Pulau Perhentian sempena ulang tahun perkahwinan kami yang ketiga", katanya.

Kavita, 28, dari Petaling Jaya pula berkata dia sangat teruja untuk bercuti di Sabah atau Sarawak menjelang cuti persekolahan yang akan datang.

"Saya memilih destinasi itu kerana ingin menikmati keindahan alam dan juga kelazatan makanan terutamanya hasil laut yang segar di sana," katanya. – BERNAMA

Source: Utusan Malaysia Online.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan