14/07/2011 1:26pm
KUALA LUMPUR 14 Julai - Malaysia sekali lagi mengangkat tinggi kedudukan Al-Quran sebagai medium penyatuan umat Islam global melalui penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTQA) kali ke-53 bermula Sabtu ini.
Acara penting kalendar dunia Islam ini akan berlangsung dari 16 hingga 23 Julai dan sekali lagi alunan merdu bacaan ayat-ayat suci Al-Quran akan berkumandang di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Othman Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mengesahkan seramai 81 Qari dan Qariah terbaik dari 50 buah negara akan memperdengarkan bacaan mengikut gaya tersendiri dalam pertandingan itu.
Menurutnya, penganjuran bagi kali ke 53 ini adalah hasil kerjasama erat semua pihak yang terlibat dan penambahbaikan daripada pengalaman dan situasi daripada majlis tilawah tahun sebelumnya.
“Tahun ini, nilai hadiah dan saguhati kepada para pemenang dan peserta telah ditingkatkan sesuai dengan nilai yang dibawa oleh majlis berprestij ini, dengan johan tahun ini bakal membawa pulang RM32,200 berbanding hanya RM12,800 tahun lepas,” ujarnya.
Naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing akan membawa pulang RM22,400 dan RM13,600 manakala semua Qari dan Qariah yang lain akan menerima saguhati penyertaan bernilai RM4,800. – Bernama
Source: Utusan Malaysia Online.
makcik pernah gi 2kali majlis tilawah..
BalasPadam