09/07/2011 9:02am
KUALA LUMPUR 9 Julai – Suasana sekitar Kuala Lumpur setakat pukul 8.30 pagi ini kelihatan lengang berikutan beberapa jalan memasuki ke pusat bandar ditutup berperingkat-peringkat ekoran beberapa pihak merancang mengadakan perhimpunan haram.
Keadaan trafik bagaimanapun dilihat terkawal dengan anggota polis berada di beberapa kawasan bagi mengawal lalu lintas ke pusat bandar, dengan kerjasama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sejak pukul 12 tengah malam tadi, polis telah menutup beberapa jalan masuk ke pusat bandar dan trafik dilencongkan ke beberapa jalan lain.
Sementara itu, perkhidmatan bas di tiga terminal utama di Kuala Lumpur beroperasi sementara di terminal lain sejak awal hari ini.
Perkhidmatan bas ekspres dari Pantai Timur di Terminal Hentian Putra dan bas SKS (dari Seremban) di Pudu Raya dipindahkan sementara ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan.
Perkhidmatan bas di Terminal Hentian Pudu Raya dan Terminal Hentian Jalan Pekeliling pula dipindahkan sementara ke Terminal Hentian Duta, Jalan Duta. – Bernama
Source: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan