Rabu, 11 Mei 2011
Perihal Bahasa dalam Al-Qur'an (Bahagian 1)
oleh Awang Sariyan
Islam sebagai agama yang syumul atau sempurna meliputi segala aspek kehidupan. Tiada aspek kehidupan yang tidak digarap oleh Islam. Maka itu, al-Qur'an sebagai kalam Allah memerikan segala aspek dunia dan akhirat, tidak terkecuali bahasa.
Pemerian bahasa dalam al-Qur'an berkaitan dengan hal-hal penting tentang bahasa sebagai salah satu kurniaan nikmat tertinggi daripada Allah kepada manusia. Secara kasarnya, pemerian itu berkaitan dengan dua hal utama. Yang pertama ialah yang berhubungan dengan hakikat bahasa (apakah bahasa, bilakah bahasa dikurniakan kepada manusia dan untuk apakah bahasa dikurniakan kepada manusia).
Persoalan untuk apakah atau mengapakah bahasa dikurniakan kepada manusia itu secara langsung berkaitan pula dengan perkara kedua, iaitu peranan bahasa dalam kehidupan manusia.
Tentang hakikat bahasa, beberapa ayat al-Qur'an memberikan penjelasan:
1. Tuhan yang maha pemurah yang mengajarkan Qur'an. Dia menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbahasa. (al-Rahman: 1-4)
Huraian: Ayat ini dengan jelas menegaskan bahawa bahasa ialah kemahiran yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Penyataan itu didampingkan dengan penyataan Allah menciptakan manusia, dengan pemahaman bahawa penciptaan manusia oleh Allah disertai oleh pengurniaan bahasa. Hal ini mengisyaratkan pentingnya bahasa bagi manusia untuk memenuhi tujuan-tujuan dan keperluan-keperluan yang akan dijelaskan berdasarkan ayat-ayat Qur'an yang lain kelak. Bahasa sebagai salah satu kurniaan istimewa kepada manusia menjelaskan hakikat manusia sebagai "sebaik-baik ciptaan Allah", iaitu "Kujadikan manusia sebagai sebaik-baik kejadian" (al-Tin: 4).
Hakikat bahawa bahasa itu kurniaan Allah menolak pelbagai teori dan hipotesis linguistik Barat yang kebanyakannya mengaitkan bahasa sebagai sesuatu yang terhasil daripada proses pada diri manusia itu sebagai akibat sesuatu. Antaranya termasuklah bahasa sebagai hasil peniruan dan laungan semula jadi (sebagaimana yang dikemukakan oleh Rosseau) atau hasil teriakan-teriakan emosi yang kemudian dimurnikan (sebagaimana kata Condillac).
Demikian juga, hakikat bahawa bahasa merupakan kurniaan Allah menyangkal teori behaviourisme yang mengatakan bahawa bahasa terhasil daripada hasil proses rangsangan dan gerak balas yang melalui proses pelaziman akhirnya membentuk kebiasaan-kebiasaan berupa tingkah laku bahasa.
2. Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam daripada sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka seraya berfirman, "Bukankah Aku ini Tuhanmu?", mereka menjawab. "Benar kami bersaksi (bahawa Engkaulah Tuhan kami)." Kami lakukan yang demikian itu agar pada Kiamat kelak kamu tidak mengatakan, "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang yang alpa tentang keesaan Tuhan. (al-A`raf: 172)
Huraian: Ayat ini menjelaskan hakikat bahawa kemampuan berbahasa telah dikurniakan oleh Allah ketika manusia di alam ruh lagi dan dijadikan perantaraan komunikasi antara Allah sebagai khaliq dengan manusia sebagai makhluk-Nya. Melalui bahasa, manusia telah membuat perjanjian atau kontrak dengan Allah, berkaitan dengan asas iman, iaitu pengakuan akan ketuhanan Allah. Potensi berbahasa di alam ruh itulah yang dikembangkan oleh manusia, dengan rahmat Allah, dalam bentuk bahasa di alam dunia, dengan pelbagai jenisnya menurut jenis bangsa manusia di muka bumi. Hakikat ini menolak hipotesis bahawa bahasa baru wujud pada manusia apabila manusia lahir ke dunia, iaitu sebagai hasil perkembangan fisiologi dan akal manusia. Meskipun benar bahawa bentuk bahasa dalam aspek sebutan, kata dan ayat berkembang pada diri manusia menurut perkembangan jasad dan usianya, namun perlu diakui bahawa perkembangan itu tidak akan berlaku jika potensinya tidak lebih dahulu dikurniakan oleh Allah ketika manusia di alam ruh.
Ayat itu secara langsung turut menjelaskan peranan bahasa sebagai alat untuk manusia memperoleh ilmu; dan ilmu yang paling asas dan penting ialah ilmu mengenal Allah. Melalui bahasa, iaitu dialog Allah dengan manusia ketika di alam ruh, manusia telah memperoleh ilmu pengenalan tentang ketuhanan Allah (selaras dengan hadith nabi "Awwaluddin ma`rifatullah", iaitu permulaan agama ialah mengenal Allah). Apabila dizahirkan di dunia, manusia dituntut mempertahankan pengenalan akan Allah itu melalui ikrar kalimah Syahadah dan melaksanakan kehidupannya dengan berdasarkan ketentuan dan hukum Allah. Ikrar Syahadah itu jugalah yang menjadi jaminan penempatan manusia di syurga kelak apabila hayatnya berakhir dengan kalimah tersebut (maksud hadith Nabi), dan di alam barzakh pun ikrar itu menjadi soalan pertama yang akan ditanyakan oleh malaikat Munkar dan Nakir.
Dengan menggunakan bahasa jugalah manusia dapat memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang yang pada hakikatnya bersumber daripada Allah. Hal ini akan dihuraikan lebih lanjut dalam pembicaraan tentang peranan atau fungsi bahasa dalam kehidupan manusia.
[bersambung]
Disiarkan semula dengan izin penulisnya.
~Kembara Bahasa~
9 Mei 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan