Jumaat, 6 Mei 2011

Malaysia negara yang amat berinovasi, kata Tun Mahathir

Tarikh siar: 2011/05/07


KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara yang melaksanakan banyak inovasi bukan saja dalam politik malah dalam bidang saintifik, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Malaysia melakukan kaedah berbeza dengan negara lain, dan antara perkara yang ketara ialah semasa menangani krisis kewangan. "Kami mengambil keputusan sekiranya mengikut dasar Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), hasilnya kami mungkin muflis.

Ini adalah cara inovasi kami dalam menangani krisis kewangan," katanya semasa berucap pada majlis makan malam gala nobel Sweden Malaysia di sini malam tadi. Katanya, menerusi inovasi tersebut, negara boleh mencapai pembangunan serta membawa kebaikan dan manfaat kepada rakyatnya.

"Bagaimanapun, apabila kita memutuskan untuk membina Putrajaya, sudah tentu rakyat membidas orang yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.


"Bayangkan jika kita tidak membina Putrajaya, masa perjalanan dari satu pejabat ke pejabat lain di Kuala Lumpur mungkin mengambil masa dua jam.

"Tetapi di Putrajaya, semua pejabat adalah bersebelahan saja," katanya.
Dr Mahathir berkata inovasi dalam teknologi juga membantu negara memupuk hubungan dengan negara lain.

Beliau yakin Malaysia mampu mewujudkan banyak industri pembuatan pada masa depan dan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan kedudukan ekonomi negara.


Majlis jamuan malam itu adalah sebahagian daripada sambutan Hari Inovasi Sweden anjuran Kedutaan Sweden dan Majlis Perdagangan Sweden, dengan kerjasama Unit Inovasi Khas di bawah pejabat Perdana Menteri.

Acara itu bagi meraikan inovasi serta memupuk hubungan yang lebih akrab antara Sweden dan Malaysia.- BERNAMA.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan