Selasa, 3 Mei 2011

Daripada profesor biasa-biasa kepada luar biasa

Nurani

ADA sesuatu yang menarik pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu. Di salah satu dewan dalam kesesakan orang ramai mencari bahan bacaan, buku 50 Tips Motivasi Haji yang dikategorikan sebagai ‘buku agama’ dilancarkan.

Luar biasa kerana buku perihal haji yang sudah banyak di pasaran boleh menarik begitu ramai perhatian orang. Sungguh, Profesor Dr. Muhd. Kamil Ibrahim telah membuktikan hal biasa boleh menjadi luar biasa. Inilah sebenarnya yang berlaku kepada dirinya.

Menurut jurujual di situ, pada hari pertama pelancarannya, lebih 1,000 naskhah telah terjual. Ia antara buku yang dicari pengunjung di gerai yang sentiasa padat pengunjung itu. Kebanyakan pemburu bukunya ialah pembaca buku pertama Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (2007).

Sabtu itu di Dewan Johor, penulis bersama Muhd. Kamil dan isterinya, Roza Roslan begitu teruja mengedarkan 300 naskhah buku terbarunya itu secara percuma. Setakat ini, lebih 100,000 naskhah buku Muhd. Kamil telah terjual. Buku pertamanya tersenarai sebagai antara buku terlaris di Malaysia dan wajarlah beliau kini bergelar penulis best seller.

Juga luar biasa kerana Muhd. Kamil ialah seorang profesor perakaunan yang mendapat pendidikan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), University of Dundee, Scotland dan University of Wales, United Kingdom. Beliau bukan ahli agama mahupun pakar motivasi untuk melayakkan dirinya menulis perihal agama dan motivasi. Malah anak Besut, Terengganu ini tidak pernah belajar ilmu agama secara formal.

Tetapi jauh berbeza dengan pencapaian akademiknya yang konsisten hebat. Beliau menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun dengan menjadi pelajar terbaik. Pelajar terbaik dan kedua terbaik kumpulan di peringkat diploma dan sarjana muda. Mendapatkan Ph.D dalam masa 32 bulan dan menjadi profesor termuda di UiTM pada umur 39 tahun.

Inilah luar biasanya seorang Muhd. Kamil. Dalam bukunya dan dalam ceramahnya dari masjid ke masjid beliau tidak segan mengakui kelemahannya untuk renungan bersama. Beliau sanggup membuang jauh-jauh ego dan mungkin maruahnya sebagai seorang profesor demi satu tujuan yang mulia – untuk dakwah mengajak khalayak menginsafi hakikat kehidupan.

“Saya jahil agama dan tidak tahu membaca al-Quran!” itulah pengakuannya. Sedangkan beliau profesor hebat yang selalu tampil di konvensyen antarabangsa di merata pelosok dunia dan menerbitkan banyak jurnal serta makalah berkaitan perakaunan. Tulisannya juga banyak tersiar di akhbar arus perdana selain sering muncul di televisyen.

Benar kata bijak pandai, jika kita ikhlas jalan ke depan akan lebih mudah. Keikhlasan Muhd. Kamil telah mengubah dirinya dan seterusnya mengusung catatan peribadinya itu ke tahap best seller sekarang.

Malah lebih daripada itu, beliau ikhlas dan rendah diri dengan dirinya sendiri. Beliau tidak segan meminta bantuan seorang hafiz muda untuk mengajarnya membaca al-Quran termasuk semasa di depan mentuanya yang tidak tahu menantunya itu buta huruf al-Quran. Profesor ini bermula dengan alif ba ta. Beliau bertekad khatam di tanah suci.

“Sepanjang 42 tahun menjalani kehidupan, ia berombak-ombak antara keinginan menjadi manusia soleh dan kejahilan diri. Ada ketikanya saya mengamalkan sikap segera bersembahyang tetapi dengan cara dan kaedah sendiri.

“Sembahyang laju-laju tanpa membaca bacaan sunat, doa, wirid dan ia benar-benar minimum. Amalan-amalan yang hanya menyentuh perkara wajib. Namun ada masanya, perkara wajib juga langsung tidak dipedulikan,” tulis Muhd. Kamil.

Beliau menyambung kisah kedaifan peribadinya. “Malah, sangat memalukan kerana saya tidak pernah cukup sebulan melaksanakan sembahyang sunat Tarawih pada bulan puasa. Apatah lagi berpuasa sunat pada bulan Syawal.

“Langsung tidak pandai berdoa dalam bahasa Arab. Tidak hafal wirid selepas sembahyang. Tidak pandai membaca Yasin, tidak pandai bertahlil, tidak tahu membaca ayat Kursi. Hinggakan bacaan tahmid semasa hari lebaran juga termasuk dalam kategori ingat-ingat lupa. Lebih banyak lupa daripada ingat.”

Kerana kejahilannya itu juga, beliau memandang remeh ajakan isterinya untuk menunaikan haji. Enam tahun iaitu sejak usianya 36 tahun, isterinya tanpa jemu berusaha mengajak Muhd. Kamil menunaikan haji. Doa dan solat hajat tidak putus-putus dilakukan.

Tetapi beliau selalu berdalih. Alasan yang selalu digunakan oleh Muhd. Kamil ialah: “Yang, kita muda lagi. Mati lambat lagi dan Yang jika kita menunaikan ibadat haji pada usia muda, balik nanti sukar bagi kita melakukan dosa.”

Namun seperti dipetik dalam Prolog Muhd. Kamil Ibrahim dalam buku terbarunya itu, “namun kekuasaan Allah mengatasi akal fikiran manusia. Saya dan Roza (isteri) menunaikan ibadat haji pada 2006. Ia menjadi titik permulaan baru dalam kehidupan.”

Sesuatu yang kelihatan mustahil menjadi kenyataan. Dengan bantuan beberapa jemaah yang memperbetulkan bacaannya, beliau dapat khatam al-Quran di Masjidil Haram. Baginya, ia cukup istimewa walaupun dilakukan semasa usianya mencecah 42 tahun.

“Ya Allah, akhirnya aku khatam di Masjidil Haram. Di hadapan Kaabah. Di rumah Pencipta Yang Maha Berkuasa lagi Bijaksana. Ia cukup istimewa,” catat Muhd. Kamil dalam bukunya itu.

Kini pensyarah perakaunan ini mengabdikan setiap hari minggu kepada masyarakat. Jadual ceramahnya sehingga bulan Ramadan ini sudah penuh. Muhd. Kamil tidak pernah meminta bayaran walaupun pernah ada ‘bisikan’ supaya mengambil sahaja sumbangan yang orang berikan. Biasanya beliau akan menyedekahkan semula sumbangan yang orang ramai berikan. Baginya, gaji profesor mencukupi untuk sebahagiannya digunakan bagi jalan dakwah.

Kini sudah beribu-ribu masjid dan surau yang dikunjunginya. Setiap kali ada tugas luar, syarat utama yang ditetapkan ialah penginapan mesti berdekatan dengan masjid. Tanpa diduga, perjalanan haji pada 2006 telah membawa banyak perubahan kepada cara hidup Muhd. Kamil. Beliau kini dalam proses menyiap buku yang berkaitan menghadapi ujian.

Mungkin sahaja ramai manusia yang jahil seperti Muhd. Kamil di luar sana. Seorang profesional dan berjaya dalam kerjaya tetapi selalu beralasan belum sampai seru untuk mengerjakan suruhan Tuhan. Kepada mereka ini, bacalah Travelog Haji dan 50 Tips Motivasi Haji. Anda akan merasai getar dan keluarbiasaannya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan