Khamis, 19 Mei 2011

Arkib Negara ambil koleksi Pendeta Za’ba


Oleh Norfatimah Ahmad dan Zanariah Abd Mutalib, bhnews@bharian.com.my

2011/05/19

Waris serah gambar, dokumen tokoh

PETALING JAYA: Pendedahan Berita Minggu mengenai pelbagai koleksi Pendeta Za’ba tidak dihargai dan kekecewaan waris beliau mengenainya, membuka mata pelbagai pihak. Jika Jabatan Muzium menemui waris Pendeta Za’ba, kelmarin, berikutan berita mengenainya disiarkan, Ahad lalu, Arkib Negara turut tampil menemui mereka bagi mengambil koleksi dokumen dan gambar milik tokoh ilmuan itu. Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Arkib Negara, Azemi Abdul Aziz bersama dua pegawainya mengadakan pertemuan dengan cucu Za’ba, Rozlin Za’ba Mohd Redza di kediaman tinggalan datuknya di Jalan Gasing di sini.

Ia bertujuan melihat sendiri dokumen, gambar dan perabot ditinggalkan tokoh akademik yang meninggal dunia pada 1973.

“Walaupun dokumen pada Rozlin tidak banyak, ia tetap penting buat Arkib Negara selaras usaha mengumpul dan memulihara peninggalan tokoh yang besar jasanya dalam bidang pendidikan terutama bahasa Melayu di negara ini.

“Kami berterima kasih kepada waris Za’ba kerana sudi menyerahkan dokumen dan gambar dan ini adalah penemuan bermakna kepada Arkib Negara kerana ada antara gambar dan dokumen tiada dalam koleksi kami,” katanya.
Azemi berkata, semua dokumen dan gambar diperoleh akan disenaraikan, diawet dan disimpan rapi, manakala ada yang dibuat salinan sebelum dimasukkan dalam koleksi sedia ada bagi rujukan umum.

Antara barangan diserahkan Rozlin kepada Arkib Negara, termasuk gambar Pendeta itu bersama keluarganya, surat berserta sampul yang tercatat tarikh penerimaan, poster 30 juzuk ayat al-Quran, kad doa ditulis Za’ba untuk rujukan cucunya, buku sejarah Melayu dan artikel mengenai Za’ba yang disunting beliau.

Azemi berkata, ketika ini, Arkib menyimpan 10,336 dokumen mengenai Za’ba termasuk gambar, buku, majalah, keratan akhbar, poster, transkrip, watikah dan warta.

Sementara itu, Rozlin berkata, beliau bersyukur kerana peninggalan Za’ba akan dipulihara dan disimpan Arkib Negara serta berharap dapat menjadi rujukan generasi akan datang.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan