2011/04/08
ALOR SETAR: Seorang mangsa keracunan cendawan, Boonma Gaeonim, 41, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejak semalam meninggal dunia pada 6.45 pagi tadi.
Mendiang bersama suami, Thongthi Poi, 50, dimasukkan ke Hospital Jitra sebelum dikejarkan ke HSB apabila tidak sedarkan diri selepas makan sejenis cendawan liar yang dipungut di kebun getah di Bukit Tangga, Changlun. Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata punca kematian mendiang disebabkan sindrom sukar bernafas akut menyamai pneumonia aspirasi yang berlaku sewaktu mangsa diserang sawan di rumahnya sebelum dibawa ke Hospital Jitra. "Suaminya yang turut sama makan cendawan itu kini stabil dan telah di pindahkan ke wad biasa," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam kejadian kelmarin, sepasang suami isteri warga Thailand itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HSB selepas makan sejenis cendawan liar yang dijadikan hidangan tengah hari.
Anak perempuan pasangan itu, Pavini Boonma, 21, terselamat selepas ditegah ibunya kerana pasangan itu berasa pening selepas makan cendawan itu.
Dr Juita juga turut menasihatkan orang ramai supaya tidak makan cendawan yang tumbuh liar kerana berkemungkinan ia beracun.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Deputi Supritendan Ibrahim Mohd Yusuf ketika ditemui di sini hari ini berkata pihaknya menerima laporan mengenai kes itu dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam pagi tadi.
"Berdasarkan laporan kedua-dua mangsa dimasukkan ke Hospital Jitra 4.30 petang semalam sebelum dirujuk ke HSB. Polis juga telah dimaklumkan bahawa salah seorang mangsa meninggal dunia pagi ini," katanya. - BERNAMA
Source: Berita Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan