Jumaat, 29 April 2011

Misbun tolak tawaran BAM

Oleh Jumiati Rosly, jumiati@bharian.com.my

2011/04/29



"KAMI semua keliru". Itulah luahan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi selepas mendapat perkhabaran mengenai keputusan Misbun Sidek menolak tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam.

Entah apa yang berlegar dalam kotak fikiran bekas jurulatih perseorangan itu sehingga mengambil keputusan nekad itu biarpun pelbagai usaha perbincangan diambil sehingga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ‘turun padang’ memujuk bekas jaguh negara itu.

“Kita tidak tahu apa sebenar perancangan Misbun. Kalau tak ada apa-apa kenapa dia lebih dulu ambil keputusan untuk berhenti? Tidak ada orang yang tahu apa difikirkannya mungkin dia mahu menjadi jurulatih di tempat lain atau pun mungkin memulakan perniagaan,” kata Kok Chi, semalam mengenai tindakan membisu jurulatih itu sejak meletakkan jawatan pada penghujung tahun lalu.

Misbun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen, semalam.

Semalam, dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BAM dipengerusikan Timbalan Presidennya, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah berkata semua ahli majlis menghormati dan menerima keputusan Misbun yang banyak memberi sumbangan kepada kejayaan sukan badminton sepanjang enam tahun bersama badan induk itu.

“Bila-bila masa Misbun mahu bersama semula kita, kita tidak halangan tetapi buat masa ini kita hormati keputusan Misbun,” katanya, mengenai kehilangan jurulatih badminton itu, semalam.
Ada yang beranggapan andai aspek gaji dalam kontrak baru diambil kira, perkara itu mungkin tidak menjadi masalah apabila jumlah yang ditawarkan dikhabarkan tidak berubah tetapi mungkinkah faktor ‘kehilangan’ Chong Wei yang terus terang mengatakan sudah selesa tanpa bimbingan mentornya itu menjadi penyumbang utama?

Berdasarkan rekod cemerlang sebagai jurulatih, Kok Chi mengharapkan Misbun kekal menjadi jurulatih biarpun di tempat lain berdasarkan umur jurulatih itu yang dikategorikan masih muda lagi.

“Kalau saya di tempat Misbun, saya akan menyahut cabaran baru membimbing atlit pelapis dan melahirkan lebih ramai jaguh bagi Sukan Olimpik 2016. Kalau ada peluang sebegitu, saya pun mahu terima apa lagi berpeluang melatih anaknya (Misbun Ramdan) yang berbakat besar,” katanya.

Sementara itu, ahli Majlis BAM, Datuk Sayed Abu Bakar Abdullah pula berkata: “Dia harus terima saja tawaran itu memajukan pemain negara. Dia tidak perlu lagi menjaga Chong Wei kerana pemain macam Chong Wei, letak mana-mana jurulatih pun boleh sebab dia memang sudah cemerlang.”

Dia menambah, bekas pemain perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo pula akan mula memikul tugas sebagai jurulatih perseorangan wanita program Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) mulai Mei ini manakala Chi Shanrong yang melatih program SSBJ dilantik membimbing skuad perseorangan wanita kebangsaan.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan