Selasa, 12 April 2011

Kejayaan Malaysia bawa F1 jadi ikutan negara Asia lain

Oleh Zairee Zahir, azairee@nstp.com.my

2011/04/13


KETIKA kali pertama Malaysia berkira-kira mahu membawa perlumbaan sukan permotoran berprestij Formula Satu (F1) ke Malaysia pada 1997, idea itu dilihat agak janggal dan keterlaluan kerana negara ini tidak mempunyai sejarah dalam perlumbaan sehebat itu.

Kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Estoril, Portugal untuk melihat sendiri perlumbaan paling mahal itu menjadi landasan pertama usaha ke arah membawa F1 ke Malaysia dan selepas itu, kawasan di Sepang dikenal pasti akan dibangunkan untuk membina litar canggih bertaraf antarabangsa menepati spesifikasi Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Gergasi petroleum negara, PETRONAS juga sudah mengambil langkah awal ketika itu dengan menceburi sukan permotoran nombor satu dunia ini menerusi penajaan pasukan Sauber-Ford pada 1995 diikuti tajaan Tourism Malaysia bersama pasukan Stewart-Ford pada 1997.
Hanya dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ilham reka bentuk Hermann Tilke menelan belanja kira-kira RM298 juta siap sepenuhnya dengan Kejuaraan Motosikal Dunia 1998 menjadi acara sukan antarabangsa pertama dianjurkan, manakala edisi F1 GP Malaysia dipentaskan kepada peminat tempatan pada tahun berikutnya.

Ia catat satu sejarah tersendiri kerana hanya Jepun ketika itu, menjadi tuan rumah kepada F1 dan Malaysia menjadi hos kedua di Asia menganjurkan perlumbaan F1 dan tidak dapat dinafikan, Malaysia turut menjadi hab sukan permotoran baru di Asia sehingga kini.

Pada tahun pertama penganjuran, dianggarkan pendapatan tidak langsung daripada aktiviti berkaitan F1 itu seperti pelancongan, pendapatan hasil kemasukan penonton luar negara, industri perhotelan dan promosi mencecah hampir RM500 juta, sekali gus membuktikan F1 satu pelaburan yang berjaya.

Terbukti banyak negara Asia lain terbuka mata dan hati untuk belajar daripada kebijaksanaan kerajaan Malaysia membantu membawa F1 ke negara ini dan hasilnya, beberapa negara lain mengikut jejak langkah negara ini dan Jepun untuk melobi FIA membawa F1 ke negara Malaysia.
Kini, China, Singapura, Bahrain, Korea, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan terbaru India, mengikut jejak langkah Jepun dan Malaysia untuk menjadi tuan rumah dalam kalendar perlumbaan F1 kerana dapat melihat pulangan langsung dan tidak langsung daripada limpahan nikmat dibawa sukan berkenaan.

GP Malaysia-PETRONAS 2011 kelmarin dikunjungi 105,008 peminat, hampir separuh daripadanya pengunjung dari luar negara di sepanjang tiga hari perlumbaan ini dan ia boleh dianggap satu lagi kejayaan negara sebagai penganjur sukan bertaraf antarabangsa. Penganjuran tahun ini juga dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit.

Seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut hadir menyaksikan perlumbaan Ahad lalu, perlumbaan edisi ke-13 kali ini dianggap istimewa kerana pembabitan secara langsung tiga pasukan yang ada kaitan dengan syarikat konglomerat Malaysia dalam tiga daripada 12 pasukan.

GP Mercedes–PETRONAS, Lotus–Renault dan Lotus Racing turut mengibar Jalur Gemilang dalam perlumbaan itu walaupun Lotus-Renault harus berasa perlumbaan kali ini lebih bermakna kerana pemandunya, Nick Heidfeld berjaya berdiri di podium ketiga pada akhir perlumbaan.

Perlumbaan dimenangi pemandu Jerman mewakili pasukan Red Bull Racing, Sebastian Vettel, dan GP Malaysia–PETRONAS 2011 sekali lagi membuktikan kelangsungan kerajaan menjayakan perlumbaan disiarkan secara langsung kepada dunia itu.

Kehadiran Najib dan Mahathir juga dilihat sebagai komitmen kerajaan memastikan F1 terus dipertontonkan di Malaysia, sehingga kontrak penganjuran dijangka berakhir 2015 nanti.

Sekalipun Perdana Menteri berkata Kabinet hanya akan membincangkan sama ada akan memohon lanjutan kontrak penganjuran apabila tiba masa nanti, tempoh yang masih ada harus digunakan sebaiknya untuk terus menjual Malaysia sebagai destinasi F1 terbaik di luar Eropah, apatah lagi dengan kemunculan beberapa permohonan baru sejak kebelakangan ini.

Yang nyata, keputusan kepimpinan negara untuk menceburi F1 suatu masa dulu walaupun mengundang pelbagai tanggapan sinis dan dianggap membazir, adalah satu keputusan tepat hingga mampu menjadikan Malaysia sebagai hab sukan pemotoran terkemuka Asia dan meletakkan negara ini sebagai antara destinasi pelancongan sukan terkemuka dunia.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan