Khamis, 28 April 2011

Henti salahkan nasi lemak

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL, utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 28 April - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan ibu bapa supaya menguruskan pemakanan anak dengan baik dengan membawa bekal ke sekolah setiap hari.

Katanya, langkah itu adalah jalan terbaik memastikan anak-anak sihat daripada terus menyalahkan penjual nasi lemak, pengurusan kantin sekolah dan penjual 'jajan' di luar kawasan sekolah.

''Ini pandangan saya, sama ada makanan tidak sihat dijual dalam sekolah, mahupun luar sekolah, sebenarnya ia bergantung kepada pembeli.

''Jika anak kita menggemarinya, maka berlakulah urusan jual beli itu. Tetapi jika tiada pembeli, jual apa pun, pasti tiada siapa yang peduli untuk membelinya," katanya di sini, hari ini.

Mohamad memberitahu, kenapa cepat sangat melenting dan menyalahkan nasi lemak, kononnya menyebabkan anak menjadi gemuk.

''Orang di Amerika sana, tak makan nasi lemak pun, tetapi gemuk-gemuk juga. Jangan cepat 'melantun-lantun' dalam membuat keputusan. Kita tidak mahu pentadbiran yang 'melantun-lantun'," katanya.

Tambahnya, individu yang berniaga di luar sekolah mahupun dalam sekolah, semuanya hendak mencari rezeki.

''Mungkin mereka diberhentikan kerja atau berhadapan kesukaran untuk mendapatkan kerja. Maka mereka berniaga kecil-kecilan dan hendak sara anak serta isteri.

''Kita kena tengoklah perkara ini, kepayahan orang ramai berniaga. Ini sampai hendak suruh tangkap penjual 'jajan' dan kompaun peniaga nasi lemak," katanya.

Justeru Mohamad mahu ibu bapa dahulu memainkan peranan dan pastikan anak-anak membawa makanan yang sihat dari rumah dan menyediakan wang poket yang seimbang atau tidak berlebihan.

''Kalau semua pihak mainkan peranan dalam hal ini, tanpa menjejaskan periuk nasi orang lain dan kepentingan mereka, akhirnya semua akan merasa gembira,'' katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan