Sabtu, 30 April 2011

Di Mana Agenda Nasional?

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

PARTI ultra kiasu menjadi semakin bongkak selepas memenangi beberapa kerusi tambahan di Sarawak. Kemenangan mereka turut diraikan oleh akhbar-akhbar perkauman yang pro-ultra kiasu. Cara pemberitaannya tidak banyak bezanya dengan kenyataan ultra kiasu.

Mendesak dan mengugut dan memanipulasikan isu untuk mencari simpati. Satu kebaikan mereka diberikan publisiti besar-besaran, manakala 100 kebaikan orang lain disenyapkan.

Paling ketara, kumpulan ultra kiasu ini mendabik dada mengatakan mendapat sokongan semua kaum. Mereka bukan lagi parti perkauman. Saya tidak nafikan, sokongan mereka semakin meningkat, tetapi itu bukan bermakna mereka tidak perkauman dan dipercayai? Pas sudah tentu ada jawapannya. Sebenarnya mereka tidak kuat, kita yang lemah. Maka kesempatan ini gunakan sepenuhnya.

Kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kawasan Kidurong yang mengandungi 27,225 pengundi, mewakili 46.2% Iban, 38.1% Cina, 15.2% Melayu dan lain-lain 1%, dijaja ke sana ke mari sebagai contoh. Majoriti 6,930 yang diperolehi didakwa hasil undian semua kaum. Sedangkan kita tahu, ia adalah undi solid orang Cina dan undi protes Iban dan Melanau terhadap 'Pek Mo' (dalam bahasa Hokkien disebut sebagai rambut/bulu putih) dan Barisan Nasional.

Sama juga seperti sebuah artikel terbitan Utusan Malaysia yang terus menerus dimanipulasikan oleh media dan parti ultra kiasu untuk memberikan tekanan kepada Perdana Menteri dan UMNO.

Pemimpin ultra kiasu Selangor bertaraf ini mendesak Perdana Menteri supaya menggunakan kuasa untuk bertindak tegas terhadap akhbar tersebut dan penulisannya dengan kadar segera, bukannya setakat mengatakan itu adalah pandangan peribadi penulis. Sikit-sikit apa juga yang bertentangan dengan mereka, maka gagasan 1Malaysia dijadikan sebagai hujah. Fahamkah ultra kiasu ini apakah gagasan 1Malaysia sebenarnya?

1Malaysia bukan gagasan menjaga hati orang dan memuaskan hati semua pihak. Tetapi gagasan ini adalah idea mengurus dan mentadbir negara berasaskan perlembagaan. Perlembagaan adalah asas keadilan. Melaksanakan apa yang termaktub dalam perlembagaan adalah asas kepada kepada gagasan 1Malaysia, walaupun pada ultra kiasu mungkin tidak adil. Jika pemimpin ultra kiasu dan akhbar perkauman boleh sewenang-wenangnya mengata orang lain, kenapa tidak kebebasan bersuara akhbar tersebut?

Saya tidak bertujuan mempertahankan tulisan dan penulis tersebut. Tetapi lebih baik kita melihat apa yang benar, apa yang salah. Apakah selama ini ultra kiasu tidak mempertahankan 1Cina? Saya masih teringat dan tidak dapat melupakan reaksi pemimpin ini sebaik sahaja mereka berjaya menguasai negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Perkara pertama yang dicadangkan adalah untuk mewujudkan Bandar Cina di Selangor. Bandar Cina yang mengandungi universiti Cina, industri Cina dan lain-lain berasaskan Cina. Alasannya amat dangkal, untuk menarik pelabur-pelabur Cina. Seolah-olah dalam dunia ini hanya ada orang Cina, bangsa lain tidak wujud. Terang-terang kenyataan bercanggah dengan perlembagaan dan gagasan 1Malaysia. Tidak ada sesiapapun termasuk akhbar Utusan Malaysia mengutuk kenyataan tersebut dan meminta beliau meminta maaf. Saya hanya terbaca dalam akhbar Harakah. Saya minta akhbar Utusan Malaysia korek balik kenyataan ini. Kita lihat reaksi parti ultra kiasu dan akhbar perkauman ini.

Bermaharajalela

Nasib baik mereka tidak memerintah Malaysia, hanya berjaya di Pulau Pinang dan 'Selangor' sahaja. Kebetulan negeri tersebut adalah Negeri-Negeri Selat dan Negeri Melayu Bersekutu, kuasa kerajaan pusat masih ada. Jika tidak, lagi bermaharajalah ultra kiasu ini dan sudah pasti 1Cina menjadi realiti. Sebenarnya, ia telah pun wujud, kita sahaja yang masih buta atau sengaja membutakan. Misalnya, Universiti Merdeka (IPTS) yang diperjuangkan oleh ultra kiasu selama ini telah wujud sekian lama, berselindung di bawah nama yang berbeza. Bahasa Melayu tidak langsung digunakan, kenapa masih boleh beroperasi? Jangan pergi jauh, singgahlah ke Kajang untuk melihatnya.

Kenapa tiba-tiba tulisan itu sengaja diperbesar-besarkan? Walhal, belum ada lagi modus operandinya. Ia hanya pendapat seorang penulis sahaja, bukan melambangkan pendapat keseluruhan akhbar tersebut mahupun UMNO. Sudah dua minggu berlalu, isu ini terus hangat dan diperbesarkan. Mereka terus menuding jari menyalahkan Perdana Menteri dan UMNO, mungkin selepas ini saya.

Orang kuat MCA pula mengajak rakyat Malaysia memboikot akhbar Utusan Malaysia. Saya hanya tersenyum sendirian. Akhbar Utusan pun tidak perlu bimbang. Saya yakin selama ini pun mereka tidak pernah membaca Utusan. Kalau mereka baca pun, hanya untuk mensensasikan isu. Pilihan mereka hanya berminat membaca berita-berita akhbar pro-ultra kiasu sahaja.

Saya ingin bertanya, tidak cukupkah lagi dengan China Town, sekolah perkauman, universiti perkauman, kegiatan perkauman dan banyak lagi yang bersifat perkauman yang telah diluluskan oleh kerajaan selama ini? Soalan khas kepada ultra kiasu ini dan juga ultra kiasu yang lain, adakah mendesak kerajaan mengiktiraf sekolah vernakular dan membantu sepenuhnya, setanding dan setaraf dengan sekolah kebangsaan tidak menggambarkan tindakan 1Cina? Kerajaan telah pun memenuhi tuntutan tersebut. Yang peliknya, pentadbiran dan pengurusan sekolah tersebut tidak dibenarkan kerajaan campur tangan langsung? Ini termasuk kurikulum, tanah, bangunan dan sebagainya. Adakah tindakan ini tidak melambang atau tidak sama dengan 1Melayu 1Bumi?

Saya tidak nampak akhbar dan kumpulan ultra kiasu ini membincangkan dengan serius masalah kajian terbaharu Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) tahun lalu, membabitkan pelajar-pelajar Cina di 159 sekolah-sekolah Cina seluruh negara. Kajian mendapati ramai pelajar dari sekolah terbabit tidak faham dan tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan apabila mereka melangkah ke sekolah menengah kebangsaan dan menjadi dewasa.

Kajian tersebut membuktikan, sejumlah 98 peratus bergaul dengan kawan-kawan Cina dan hanya bercakap dalam bahasa Cina setiap hari. Kehidupan mereka hanya melihat satu bangsa. Bermakna, sosialisasi kita hampir 100 peratus perkauman. Penggunaan bahasa Melayu hampir sifar.

Semua sedia maklum bahawa bahasa ibunda adalah bahasa rasmi sekolah vernakular dan diajar dan bertutur hampir 24 jam, jika tidak tidur. Manakala bahasa kebangsaan hanya diajar lebih kurang 3 kali seminggu dalam jangka masa 40 minit setiap waktu. Dengan makna, bahasa kebangsaan ini hanya 'digunakan' 2 jam untuk 5 hari persekolahan daripada 120 jam yang ada. Jika dicampur hari cuti Sabtu dan Ahad, bermakna bahasa kebangsaan hanya digunakan tidak sampai satu peratus seminggu dari 168 jam. Adakah ini wajar bahasa Melayu 'dilayan' sedemikian rupa dalam sebuah negara yang mendaulatkannya (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan)?

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan