Oleh SYUKRI SHAARI, pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 13 April - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia memberikan bantuan kepada Indonesia untuk membebaskan 20 anak kapalnya yang ditawan di perairan Teluk Aden, Somalia 16 Mac lalu.
Panglimanya, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, setakat ini ATM masih belum dihubungi kerajaan Indonesia untuk tujuan tersebut tetapi bersedia membantu sekiranya diperlukan.
"Sekiranya kami mempunyai kemampuan, kami sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada Indonesia. Saya percaya segala krisis yang berlaku di Teluk Aden perlu diselesaikan secara bersama.
"Setakat ini kerjasama antarabangsa di Teluk Aden sangat positif. Segala informasi tentang kejadian di sana terus disampaikan kepada negara terlibat dengan misi di perairan tersebut supaya tindakan segera dapat diambil," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani sijil serah dan terima tugas Panglima Angkatan Bersama di sini, hari ini.
Pada 16 Mac lalu, sebuah kapal dagang dari Indonesia, Sinar Kudus ditawan ketika melalui perairan Teluk Aden, Somalia.
Seramai 20 anak kapal tersebut telah ditawan namun kesemua mereka difahamkan berada dalam keadaan baik.
Sementara itu, berhubung tindakan kerajaan menjadikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai agensi penguatkuasaan tunggal di kawasan perairan menjelang hujung tahun ini, Azizan berkata, ia merupakan langkah yang baik dalam usaha menjaga keselamatan perairan negara.
Katanya, ATM tidak mempunyai sebarang masalah dengan langkah tersebut malah beranggapan ia suatu perkembangan positif kepada sistem pertahanan negara.
"Menerusi langkah kerajaan itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dapat memberikan fokus kepada tugas utamanya iaitu menjaga keselamatan perairan negara daripada ancaman musuh.
"Maritim Malaysia pula akan bertanggungjawab terhadap pelaksanaan undang-undang di perairan negara. Bagaimanapun TLDM masih akan memberikan bantuan kepada agensi itu sekiranya diperlukan," jelasnya.
Source: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan