KUALA LUMPUR 27 Mac - Agensi pelancongan di negara ini diminta meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkenalkan produk pelancongan negara di peringkat antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen berkata, kerjasama tersebut diharap dapat memperkenalkan produk pelancongan yang kurang dipromosikan sebelum ini dan seterusnya dimasukkan ke dalam pakej agensi serta kalendar pelancongan negara.
"Penganjur sesuatu aktiviti perlu memaklumkan kepada kementerian sekurang-kurangnya enam bulan supaya dapat dimasukkan dalam kalendar pelancongan dan pakej agensi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis pengiktirafan ke atas Tokong Thean Hou di yang sini berjaya mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records kerana menggunakan tanglung sutera terbesar dan menara besi tertinggi sewaktu sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.
Turut hadir, Presiden Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persekutuan (Tokong Thean Hou), Datuk Woo Ser Chai dan Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysia Book of Records, Datuk Danny Ooi.
Tambah Yen Yen, data yang dikumpul oleh agensi pelancongan hendaklah diasingkan kepada pelancong asing dan tempatan untuk kita dapat mengetahui tahap kekuatan produk pelancongan negara di peringkat antarabangsa.
"Pihak agensi pelancongan juga perlu lebih kreatif dan inovatif bersama NGO berkaitan untuk memperkenalkan dan menawarkan pakej kepada pelancong," ujarnya.
Source: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan