Sabtu, 26 Mac 2011

Penjelasan Zainuddin Maidin


SAYA mula bersahabat dengan Syed Kechik antara tahun 57 hingga 59 ketika beliau menganggur setelah kembali dari Amerika. Beliau sering datang menemui saya di sebuah bilik kecil yang merupakan pejabat saya sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di Pasar Yaacob Alor Star dan banyak bercerita tentang pengembaraannya ke sana.

Beliau tiba-tiba menghilangkan diri dan saya hanya mengetahui kemudiannya beliau telah berlepas sekali lagi dengan kapal laut untuk ke London bagi melanjutkan pelajarannya dalam bidang perundangan.

Sebelum kembali ke Kedah, saya telah pun membaca mengenainya di Mingguan Tunas terbitan Penerbit Harmy di Singapura yang menceritakan tentang anak muda Melayu yang merantau ke Amerika telah singgah di pulau itu dan mencuba nasib untuk menjadi bintang filem di Studio Show Brothers Jalan Ampas Singapura.

Saya telah diberitahu oleh beberapa orang pelakon filem Melayu di Singapura termasuk seniman Mustapha Maarof yang berpindah ke Kuala Lumpur bahawa Syed Kechik telah dinasihatkan supaya membatalkan hasratnya itu kerana kelayakan pelajarannya yang tinggi tidak sesuai dengan gaji yang sangat rendah sebagai bintang filem.

Bagaimanapun minatnya terhadap perfileman tidak pernah pudar. Ini terbukti bila beliau sendiri menubuhkan syarikat filemnya Syed Kechik Production di Kuala Lumpur yang menerbitkan beberapa buah filem Melayu sekali pun mungkin ini bertentangan dengan nilai budaya keluarganya.

Mungkin ingatan saya silap atau terkeliru dengan ceritanya sama ada beliau sendiri atau Monte Zain yang hendak menjadi Sabu tetapi dari segi logiknya tentulah cerita Zain yang benar.

Mengenai beliau mengajak Khalid Abdullah seorang aktivis politik di tahun 1949 untuk menyertainya ke Amerika telah diceritakan sendiri oleh Tan Sri Khalid (Bekas Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu) kepada saya.

Syed Kechik telah menjalin semula hubungan dengan saya setelah beliau kembali dari London dan berkerja dengan sebuah syarikat guaman di Kuala Lumpur di awal tahun 60-an dan saya bertugas sebagai wartawan Utusan di Kuala Lumpur.

Hubungan ini terus terjalin walaupun beliau berhijrah ke Sabah. Pertukaran nama Jesselton kepada Kota Kinabalu adalah dari idea beliau yang diberitahu kepada saya sebelum pengumuman dibuat oleh Ketua Menteri Sabah dalam ucapan yang disediakan olehnya.

Syed Kechik lebih gemar berkawan dengan rakyat biasa seperti para wartawan, penulis dan seniman. Semua mereka menghormatinya kerana moralnya yang tinggi, tidak pernah minum minuman keras, tidak suka berpoya-poya dan tidak mempunyai "kenakalan" sebagai seorang lelaki sekalipun orangnya tinggi, kacak, gagah dan segak.

Kali terakhir saya menemuinya ialah di kediamannya di Bangsar untuk memberikan kepadanya buku saya Tun Razak, Jejak Bertapak Seorang Patriot. Tetapi beliau hanya bercakap sepatah dua sahaja. Beliau menjadi demikian kerana keadaannya yang tidak sihat dan menyebabkan rakan-rakannya yang lain seperti artis terkemuka Ahmad Nawab dan wartawan Utusan ABI (Ahmad Idris) dan lain-lain berada dalam keadaan serba salah untuk menemuinya.

Saya berterima kasih kepada Syed Salim yang telah memberikan perhatian terhadap tulisan saya mengenai abangnya yang diharapkan akan dapat membangkitkan minat generasi baru terhadap orang Melayu seperti Syed Kechik yang mempunyai semangat tinggi untuk memperbaiki diri mereka dalam pelajaran di dalam keadaan kemiskinan bangsanya di zaman penjajahan dan mereka menjadi orang yang berjaya. Ini berbeza dengan generasi sekarang yang lebih mengharapkan biasiswa.

Saya percaya Yayasan Syed Kecik atau MPI sendiri mampu untuk menterjemahkan buku-buku mengenai Syed Kechik terutamanya yang ditulis oleh Monte Zain supaya pembacaannya meluas di kalangan anak anak Melayu untuk penghayatan dan pembangunan kesedaran mereka.

Apa pun dikatakan orang tentang Syed Kechik tetapi saya mempunyai pandangan yang sangat tinggi terutama dari segi pegangannya terhadap nilai peribadi yang baik.

Catitan: Allahyarham Senu Abdul Rahman adalah bekas Setiausaha Agung UMNO, menjadi Duta Malaysia yang pertama ke Indonesia dan juga Menteri Penerangan.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan