KUALA LUMPUR 12 Feb. - Generasi muda Melayu hari ini perlu mempunyai jiwa, semangat dan sikap sentiasa mengutamakan kepentingan bangsa melebihi kepentingan peribadi.
Presiden Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, ia penting bagi meningkatkan kemajuan orang Melayu dari pelbagai aspek terutamanya dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Selain itu, katanya, belia Melayu juga perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan agenda politik masing-masing dengan lebih menumpukan kepada usaha memberikan idea dan pelan bagi membangunkan bangsa Melayu pada masa depan.
''Ini penting demi memastikan kepentingan perjuangan anak bangsa, kini dan masa depan terus terjamin,'' katanya semasa berucap pada Simposium Dilema Melayu anjuran Aspirasi di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Mohd. Shahar dalam pada itu memberitahu, anak muda Melayu kini juga sudah mula melupai sejarah tanah air sehingga ada yang menjadi perosak kepada usaha perjuangan tokoh Melayu sebelum ini.
Keadaan itu sekiranya tidak ditangani katanya, akan menjadi bom jangka yang boleh menghancurkan kemajuan dan kemakmuran Malaysia.
Justeru katanya, penganjuran simposium seperti ini kena pada masanya melihat kepada keadaan orang Melayu dan generasi muda Melayu masa ini.
''Jika ada pihak lain yang mengatakan simposium ini sebagai tindakan provokasi terhadap kaum lain dan usaha menidakkan 1Malaysia, ia adalah tidak benar kerana mereka berasa iri hati atas penyatuan anak-anak muda Melayu yang berhimpun atas satu cita-cita yang sama,'' katanya.
Source: Mingguan Malaysia Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan