PEKAN 9 Feb. - Kerajaan akan menimbang bagi mengadakan operasi pemindahan kedua untuk penuntut Malaysia yang enggan keluar dari Mesir jika pergolakan di negara itu tidak menemui jalan penyelesaian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setakat ini kumpulan terbabit diminta menjaga diri dan berhati-hati ketika berada di negara bergolak itu serta tidak melakukan perbuatan yang boleh mendedahkan risiko lebih tinggi kepada mereka.
"Sepatutnya mereka perlu balik (keluar dari Mesir) semasa operasi pemindahan baru-baru ini tetapi kalau keadaan begitu cemas maka kerajaan boleh pertimbangkan bantuan untuk membawa mereka keluar dari negara itu," katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas kejayaan Ops Piramid yang dilakukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia dalam membawa keluar lebih 6,000 penuntut Malaysia dari Mesir.
Najib memberitahu, misi yang dilakukan itu bersifat nasional dan beliau berpuas hati dengan tindakan diambil bagi membawa keluar para penuntut berkenaan.
Tambahnya, operasi itu bukan sahaja melibatkan kerajaan tetapi juga pihak-pihak lain yang memberi kesan bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Ramai yang tidak menjangka bahawa kerajaan bawa balik para pelajar terbabit dalam tempoh singkat dan kita berjaya melakukannya," katanya.
Mengenai kebajikan penuntut yang pulang ke negara ini Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan beberapa langkah tertentu diambil supaya pelajaran mereka tidak terjejas.
Tambahnya, perkara itu diserahkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk tindakan seterusnya.
Ditanya mengenai peranan kerajaan Malaysia dalam menjadi orang tengah antara Pertubuhan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina yang bermula hari ini, Najib berkata, peranan Malaysia masih lagi diperlukan.
Menurutnya, rundingan itu diteruskan berikutan kedua-dua pihak bersetuju memilih Malaysia menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi ketika ini.
Source: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan