Isnin, 21 Februari 2011

Ikuti jejak adik Wee Soo Yen

Oleh DR.MOHD RIDHUAN TEE


Sejuk hati apabila melihat penerima tokoh Maulidur Rasul, Wee Soo Yen, 16, pelajar Cina dari Kelantan kerana mendapat A subjek Bahasa Arab Komunikasi dan semua A subjek yang lain dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) lalu. Apabila diwawancara, cara beliau berbahasa Melayu begitu fasih sekali.

Bertambah manis dan anggun berbaju kurung berselendang bersama ahli keluarganya. Langsung tidak kekok berakulturasi dengan budaya Melayu. Malangnya, ada segelintir daripada kita, mungkin ramai, apabila yang syorkan memakai songkok ketika pembukaan parlimen di hadapan sultan, melakukan protes tidak tentu pasal kerana takut diasimilasikan.

Sedangkan kita tahu ketika Tahun Baru Cina, pemimpin Melayulah yang paling hebat menyepit, mengacau dan menghayun tinggi Yee Sang sehingga kelihatan lebih Cina daripada Cina. Maaf, saya gunakan istilah ini kerana ada yang menuduh saya lebih Melayu daripada Melayu, terutama pemimpin Pas Shah Alam yang sanggup merakamkan sidang video khas dalam Youtube untuk mematahkan hujah artikel saya sebelum ini. Terima kasih atas publisiti itu.

Apa yang dilakukan Soo Yen, pada saya, langsung tidak menggugat identiti kecinaannya. Soo Yen tetap kaum Cina, seperti saya. Saya tidak pasti beliau boleh berbahasa Mandarin atau tidak, tetapi saya yakin, majoriti masyarakat kita amat selesa dengan penampilannya. Inilah yang dikatakan 1Malaysia.

Walaupun saya tidak mengenai Soo Yen, dalam hati saya berkata jika ramailah rakyat Malaysia seperti beliau, sudah pasti kesepaduan sosial mudah terjalin. Ini tidak, kita asyik berpolitik tidak pernah habis, mendesak dan menuntut dan seperti apa yang dibuat oleh persatuan Dong Zong minggu lalu.

Persatuan ini mengancam akan mengadakan protes dengan menggantung banner atau mungkin berdemonstrasi jika Kementerian Pelajaran terus menghantar guru kaunselor dan guru Bahasa Melayu ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tanpa boleh berbahasa Mandarin. Jika saya berada di kementerian, memang sukar sekali memenuhi tuntutan sebegini. Berapa ramai guru dan kaunselor Melayu yang boleh berbahasa Mandarin.

Dalam kata lain, kaunselor dan guru Bahasa Melayu tidak layak berada di SKJC jika tidak menguasai dwibahasa. Inilah dilema sistem pendidikan kita sejak dari dahulu. Akta demi akta diwujudkan dan dipinda, untuk meraikan orang lain. Tetapi, langsung tidak dihargai dan mereka tidak pernah bersyukur. Sekian lama merdeka, kita asyik terus bermain tarik tali. Tidak ada ketegasan dalam memperkasakan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan bahasa Melayu terus terumbang-ambing, ibarat diluah mati bapa, ditelan mati emak. Lihatlah sekeliling adakah martabat bahasa kebangsaan terangkat?

Ada yang mengatakan kelunakan dasar kerajaan ada kaitannya dengan soal undi dan pilihan raya. Kerajaan takut kehilangan undi bukan Melayu. Suka atau tidak, terima sahaja apa jua tuntutannya. Pegawai yang berada di kementerian berkaitan menjadi mangsa dan tertekan. Dari satu segi, memang ada kebenarannya, tetapi ditinjau dari sudut lain, inilah yang dikatakan keterbukaan kepimpinan negara untuk mencapai kesepaduan sosial.

Pada saya, apa pun yang dilakukan, jangan sampai perlembagaan diketepikan, terutama soal bahasa kebangsaan. Jika Soo Yen boleh membuktikannya, saya tidak fikir orang lain tidak boleh atau terlalu sukar melaluinya. Tidakkah sepatutnya ia merupakan satu kebanggaan bangsa Malaysia?

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan