Sabtu, 5 Februari 2011

Gigih urus pemindahan pelajar

Oleh Johardy Ibrahim

''Dicampak ke Jeddah macam binatang,'' tertera ayat daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) yang jelas memaparkan rasa tidak puas hati seseorang mengenai layanan yang diterimanya semasa misi pemindahan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi.

Mesej ringkas tersebut menjadi perbualan di kalangan petugas dan sukarelawan yang membantu menguruskan pemindahan kira-kira 11,400 pelajar yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Mesir. Itu bilangan yang berdaftar. Dianggarkan lebih 5,000 lagi yang berada di Mesir tetapi tidak mendaftarkan diri mereka.

Bagaimanakah rungutan sedemikian boleh timbul tatkala semua pihak di Kaherah dan Jeddah memerah tenaga bagi memastikan kelancaran misi Ops Piramid tersebut?

Pemerhatian Mingguan Malaysia di Jeddah mendapati sistem sokongan di situ adalah memuaskan. Para pegawai Kedutaan Malaysia diketuai Dutanya, Datuk Dr. Mohd. Fakhirudin Abdul Mukti yang dibantu oleh pelbagai agensi kerajaan khususnya Tabung Haji telah mengatur penyediaan bas yang selesa menuju ke Madinatul Hijjaj, iaitu kompleks haji yang boleh memuatkan 2,000 orang pada satu-satu masa.

Tabung Haji juga telah mengenal pasti maktab dan hotel tertentu di sekitar Jeddah untuk memuatkan keseluruhan 11,400 pelajar Malaysia dari Kaherah. Bagi Tabung Haji, ia memiliki pengalaman mengendalikan 35,000 jemaah haji, jadi setakat 11,400 orang adalah dalam bidang keupayaannya.

Sebagai lokasi penempatan bagi jemaah haji juga, Madinatul Hijjaj adalah sebuah kompleks penginapan yang dilengkapi dengan keperluan asas merangkumi klinik perubatan dan restoran makanan.

Ketibaan rombongan media menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia C-130 pada tengah malam Khamis adalah serentak dengan ketibaan kumpulan pertama pelajar yang dikeluarkan dari Mesir melalui Penerbangan Malaysia dan AirAsia. Kami bersama-sama menaiki bas dari lapangan terbang Jeddah ke Madinatul Hijjaj.

Pada saat dan tika artikel ini ditulis, operasi pemindahan dilakukan serentak menerusi dua pesawat komersial iaitu masing-masingnya dari MAS dan AirAsia; tiga pesawat Charlie milik TUDM dan sebuah kapal TLDM.

Kesukaran sememangnya wujud. Ini kerana ia adalah operasi pemindahan besar-besaran yang julung kalinya dilakukan oleh kerajaan Malaysia dari sesebuah negara. Apatah lagi, di peringkat permulaan hanya terdapat lapan pegawai di Kedutaan Mesir yang ditugaskan mengatur urusan ketibaan dan pelepasan pesawat, mengendalikan senarai pelajar dalam bilangan sebegitu besar dan tidak dilupakan, reaksi daripada negara tuan rumah (Mesir) serta negara yang memberi tumpang (Arab Saudi).

Beban

Hanya pada Jumaat, bantuan tenaga manusia tiba bagi mengurangkan sedikit beban tugas pegawai Kedutaan Mesir. Dua pegawai Wisma Putera dari ibu pejabat turut sama mengikuti penerbangan yang tidak selesa tetapi cekap menerusi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia Charlie C-130 dari Kuala Lumpur pada 9 malam Rabu lalu ke Maldives, kemudian ke Abu Dhabi sebelum ke Jeddah dan akhirnya tiba di Kaherah pada pukul 6 petang waktu tempatan (hampir 48 jam untuk tiba ke destinasi!).

Bantuan juga didatangkan dari Kedutaan Malaysia di Kuwait, Jordan dan Libya selain sebilangan pelajar Malaysia yang menawarkan diri menjadi sukarelawan. Turut serta ialah petugas dari Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang membantu mengendalikan urusan makanan dan minuman sepanjang pelajar menanti giliran menaiki pesawat di lapangan terbang Kaherah.

Malah kehadiran bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim juga membantu melancarkan lagi usaha memberi keselesaan kepada para pelajar terbabit. Kami melihat kedua-dua pemimpin tersebut mengeluarkan duit sendiri untuk mengadakan peralatan atau makanan tambahan yang diperlukan.

Menurut wartawan TV3, Razali Awang yang tiba di sini sejak empat hari lalu, beliau telah menyaksikan para petugas kedutaan bertungkus-lumus selama 24 jam menguruskan operasi pemindahan besar-besaran tersebut.

Malah, ia disaksikan sendiri oleh Utusan Malaysia yang mendapati empat pegawai kedutaan dibantu oleh pelajar sukarelawan masih terus menyusun dan mengatur senarai pelajar sehingga 5 pagi waktu tempatan. Razali berkata, mereka telah bekerja sejak pagi lagi tanpa henti.

Pegawai-pegawai kedutaan telah bekerja keras bagi memastikan keselesaan semua pelajar. Hinggakan terpaksa melanggar perintah berkurung demi untuk membawa bekalan makanan kepada para pelajar di lapangan terbang. Terdapat kes terpencil bila pelajar yang diberikan makanan roti, merungut sambil berkata, ''kami tak makan roti, kami nak nasi lemak''.

Wartawan yang mendengar ayat itu pada mulanya tidak mengendahkan rungutan sebegitu. Ia mungkin hanya luahan dari pelajar yang penat menunggu. Tetapi ia juga secara tidak langsung menggambarkan watak pelajar Malaysia itu sendiri yang 'terlampau manja'.

Para pelajar haruslah mengerti bahawa apa yang mereka lalui iaitu proses pemindahan tersebut adalah dilaksanakan ekoran suasana darurat di Mesir. Bila waktu darurat, segalanya tidak akan dapat dinikmati seperti layanan kelas perniagaan. Akan ada makanan yang tidak menyelerakan, akan ada penerbangan yang lama tersadai di landasan dek kerenah birokrasi pihak berkuasa tempatan dan akan ada bas yang terlewat menghantar ke destinasi.

Tatkala di pihak Malaysia berusaha gigih, harus diketahui bahawa apabila berurusan dengan negara asing masih wujud kerenah birokrasi yang luar biasa tebalnya di hari ini. Namun, ia diatasi dengan penuh diplomasi oleh pegawai-pegawai yang berpengalaman dalam hubungan dua hala.

Para pelajar terbabit, hendaklah bersabar jika tidak mahu berterima kasih sekali pun kepada kerajaan atas inisiatif yang diusahakan. Janganlah mencemuh dan membidas, menceritakan rasa tidak puas hati yang tidak munasabah bila yang biasa dinikmati tidak dapat disediakan. Ingatlah ini adalah waktu darurat.

Source: Mingguan Malaysia Online

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog ini yang budiman,

    Kita tumpang berdukacita dengan nasib yang ditimpa oleh semua yang terjejas kehidupannya akibat pergolakan di Mesir - tidak kira mereka itu rakyat Arab Mesir, para pelajar negara luar di Mesir mahu pun kakitangan kedutaan yang terpaksa berkhidmat di Mesir. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita cukup bersimpati dan memahami situasi mereka ini.

    Namun begitu, walau bagaimana besar sekali pun kekurangan yang wujud dalam proses memindahkan para pelajar tersebut, wajarkah kita bersikap begitu kepada orang datang menolong kita?

    Kepada pihak yang bertanggungjawab memilih para pelajar yang hendak dihantar belajar di negara luar, eloklah ditambah kriteria pemilihan kepada ketahanan mental menghadapi pancaroba sebegini rupa dan keupayaan mensyukuri nikmat Allah serta tahu berterima kasih kepada orang yang menolong kita.

    Selamat membaca.

    BalasPadam