KUALA LUMPUR 10 Feb. - Malaysia Airlines System (MAS) akan meneruskan misi membawa keluar penuntut dan rakyat Malaysia dari Mesir melalui Ops Piramid sehingga Sabtu ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu mengumumkan akan melakukan lima lagi penerbangan membawa mereka yang terlibat dari Kaherah ke Jeddah, Arab Saudi.
"Sehingga kini MAS melakukan 11 penerbangan. Ramai lagi dijangka pulang ke tanah air pada hujung minggu ini," ujar kenyataan itu.
Pada fasa pertama operasi itu, MAS berjaya membawa keluar 3,431 rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah sementara sehingga semalam seramai 1,274 orang sudah sampai ke tanah air dari Jeddah.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin memberitahu, seramai 14,000 penuntut Malaysia dilaporkan mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah untuk dibawa keluar dari Mesir.
Menurutnya, MAS akan terus bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneruskan misi membawa pulang penuntut dan rakyat Malaysia dari negara bergolak itu.
Kata Tengku Azmil, kesudian Mesir dan Arab Saudi membenarkan MAS mendarat di lapangan terbang negara itu adalah kunci kelancaran operasi tersebut.
Jelasnya, sudah bertahun-tahun MAS membina dan berusaha mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua negara itu.
Source: Utusan Malaysia Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan