Jumaat, 14 Januari 2011

"Pengadu ugut bakar bukan saya"



KUALA LUMPUR 13 Jan. – Biro Pengaduan Awam (BPA) hanya bertindak selepas 27 aduan diterima daripada masyarakat India yang tidak berpuas hati dengan novel Interlok karya Abdullah Hussain yang dikatakan mengandungi unsur sensitif.

Sehubungan itu, Pengerusinya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata, semuanya adalah salah faham sehingga timbulnya tuduhan yang menyebut beliau yang ingin mengharamkan dan mengugut membakar novel itu.

Jelasnya, kenyataan itu bukan daripada beliau, sebaliknya pengadu yang mengugut bertindak sedemikian sekiranya BPA tidak melakukan apa- apa.

“Sebagai Pengerusi BPA, saya mengadakan perjumpaan dengan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pelajaran untuk membincangkan masalah itu.

“Hasil mesyuarat semua pihak bersetuju membawa usul kepada Menteri Pelajaran agar mempertimbangkan sama ada unsur sensitif itu di buang atau mengharamkan novel itu, bukannya saya yang pandai-pandai membuat keputusan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi berhubung rencana yang ditulis Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena), S. M. Zakir dalam Utusan Malaysia hari ini.

Artikel tersebut mendakwa novel Interlok menjadi polemik yang tidak berkesudahan apabila Murugiah menimbulkan isu tentangnya.

Kenyataan Murugiah yang menyebut tentang pengharaman dan ugutan untuk membakar novel tersebut bukan sahaja mencetuskan isu yang sepatutnya tidak timbul tetapi juga membawa kepada tindakan tidak rasional pihak tertentu terhadap novel Interlok.

Murugiah menambah, segala dakwaan yang tidak tepat itu perlu dihentikan dan niatnya hanya untuk menyelesaikan aduan rasa tidak puas hati kaum India.

“Saya ikhlas mahu membantu kerajaan serta meredakan sebarang perasaan tidak puas hati masyarakat tanpa mengira kaum.

“BPA hanya menjalankan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah dan tidak ada niat mahu mempolitikkan isu novel itu,” katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan